KETUA Pengajar Bahagian Pembaikan Am K Vilayuthan (kanan) memberi penerangan kepada Mohd Ismail (dua kanan) diiringi Ishiyama (dua dari kiri) ketika melawat Pusat Latihan Honda Melaka di Pegoh, Alor Gajah, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
KETUA Pengajar Bahagian Pembaikan Am K Vilayuthan (kanan) memberi penerangan kepada Mohd Ismail (dua kanan) diiringi Ishiyama (dua dari kiri) ketika melawat Pusat Latihan Honda Melaka di Pegoh, Alor Gajah, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
Shaiffulazhar Misri


HONDA Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjalinkan kerjasama untuk menyediakan peluang menjalani latihan amali dan praktikal kepada pelajar pusat pengajian dan kolej komuniti di syarikat automotif berkenaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Toichi Ishiyama berkata, kerjasama itu juga adalah satu daripada usaha memantapkan pendidikan industri automotif selaras dengan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kita berbesar hati dapat menyumbangkan sesuatu kepada negara ini, khususnya dalam bidang automotif dan seterusnya untuk persediaan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

“Sehubungan itu, pihak syarikat akan memberi beberapa modul latihan pembelajaran automotif bersesuaian dengan tahap pelajar dan kehendak Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Sijil Kolaborasi (CoC) di Pusat Latihan Honda Melaka, Taman Industri HICOM Pegoh, Alor Gajah, hari ini.

Menerusi perjanjian itu, kira-kira 200 pelajar jurusan automatif dari 17 politeknik serta kolej komuniti akan menjalani latihan amali dan praktikal selama enam bulan di pusat servis Honda Malaysia seluruh negara.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz dan Ketua Pengarah Honda Malaysia Atsuyoshi Nishida.

Ishiyama berkata, kolaborasi strategik itu juga bakal melonjak tahap baharu industri pendidikan teknikal dalam bidang automotif di negara ini.

“Latihan amali yang akan diikuti pelajar di sini (Honda) adalah satu daripada persediaan mereka sebelum memasuki alam pekerjaan yang sebenar.

“Mereka perlu dilengkapi dengan persediaan lengkap dalam menempuh alam industri teknikal, khususnya kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, kebijaksanaan menyelesaikan masalah, kemahiran mengawal diri dan emosi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 6:58 PM