ABU Bakar Sentol, 82, menunjukkan jaring hitam yang dipasangnya di sekeliling reban ayam bagi mengelakkan serangan babi hutan di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
ABU Bakar Sentol, 82, menunjukkan jaring hitam yang dipasangnya di sekeliling reban ayam bagi mengelakkan serangan babi hutan di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


“LEBIH 100 itik daging peliharaan saya dibaham babi hutan sejak awal tahun ini. Bukan seekor dua babi yang mengganggu, sebaliknya sekeluarga dan ada kalanya mencecah hingga lapan ekor.”

Demikian kata warga emas, Abu Bakar Sentol, yang mengusahakan ternakan itik daging di Kampung Paya Lebar, Lubok China, Alor Gajah, hari ini.

Abu Bakar berkata, ekoran kejadian itu, dia mengalami kerugian dan patah semangat untuk meneruskan usaha menternak haiwan itu memandangkan itik daging boleh dijual pada harga RM10 sekilogram (kg).

“Haiwan liar itu datang dari hutan yang tidak jauh dari kawasan kampung. Saya percaya kumpulan babi berkenaan menyerang itik ternakan pada waktu malam hingga subuh,” katanya.

Menurut Abu Bakar, babi hutan mempunyai kekuatan agak luar biasa hingga mampu menyondol dan menaikkan pagar kawat yang mengepung reban, sebelum masuk ke dalam dan membaham itiknya.

"Pada mulanya haiwan ini sekadar membunuh lima itik, tetapi lama-kelamaan ia meningkat hingga berpuluh-puluh ekor, sekali gus menyebabkan saya bukan setakat mengalami kerugian, malah hilang semangat untuk meneruskan usaha menternak itik daging.

"Setakat ini, lebih 100 ekor itik sudah dibunuhnya menyebabkan saya terpaksa menamatkan usaha menternak itik bulan lalu seterusnya beralih kepada menternak ayam kampung pula," katanya.

Bagi menghalang babi hutan memusnahkan ayam di dalam reban, Abu Bakar cuba memasang jaring hitam di sekeliling reban ayam dan ternyata setakat ini ia mampu menghalang serangan haiwan itu.

"Saya juga bercadang untuk meminta individu bukan Islam menembak haiwan ini dan mengambilnya sebagai makanan.

"Babi hutan yang sudah ditembak tidak boleh dibiarkan begitu saja kerana ia menyebabkan kawasan sekitarnya dicemari bau bangkai," katanya.

Sehubungan itu, Abu Bakar memohon pihak berkuasa untuk menangani masalah babi hutan yang berkeliaran di kawasan kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 1:48 PM