SEBAHAGIAN daripada 10 individu yang ditahan dalam serbuan di dua pusat hiburan di Pulau Perhentian, Besut, awal pagi kelmarin. FOTO ihsan JHEAT. NSTP
SEBAHAGIAN daripada 10 individu yang ditahan dalam serbuan di dua pusat hiburan di Pulau Perhentian, Besut, awal pagi kelmarin. FOTO ihsan JHEAT. NSTP
Hanneeyzah Bariah Baharin


SERAMAI 10 individu termasuk tiga wanita ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ketika asyik berpesta arak di dua pusat hiburan di Pulau Perhentian, Besut, awal pagi kelmarin.

Semua mereka berusia 20-an ditahan di pusat hiburan berkonsep ‘disko ala pantai’ itu dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota JHEAT pada 1.30 pagi.

Sumber berkata, pihaknya turut merampas beberapa botol minuman keras dipercayai baki minuman diminum mereka.

Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan daripada penduduk tempatan mengenai aktiviti tidak bermoral di pusat hiburan berkenaan yang didakwa sudah beberapa tahun beroperasi secara haram.

“Penduduk mendakwa pusat hiburan itu dijadikan 'port' pengunjung tempatan terutama kaki botol melepaskan gian minum arak terutama pada musim cuti, selain melakukan aktiviti maksiat apabila menari bersama pasangan masing-masing dalam keadaan mabuk.

“Penduduk bimbang kewujudan pusat hiburan beroperasi sehingga 5 pagi hampir setiap hari itu menjadi punca golongan remaja dan belia di pulau itu semakin rosak akhlak kerana terpengaruh.

“Mereka mendakwa pusat hiburan itu banyak menyumbang kesan buruk termasuk peningkatan kes jenayah di pulau berkenaan antaranya kes rogol, cabul, curi dan pukul,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Sumber berkata, dalam operasi yang turut mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, Kelantan dan penduduk setempat, pihaknya menahan seorang lelaki bersama dua wanita di dalam sebuah bilik tumpangan di sekitar kawasan kampung di pulau terbabit pada 4.30 pagi.

Semua 10 yang ditangkap kemudian dibawa ke Pejabat Agama Besut untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 23(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 kerana meminum minuman memabukkan, manakala tiga lagi yang berusia 26 tahun ditahan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Sementara itu, Pesuruhjaya JHEAT, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dalam operasi itu.

Beliau berkata, JHEAT akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk menjalankan operasi berkala bagi membasmi kegiatan minum arak dalam kalangan umat Islam dan perlakuan jenayah syariah lain termasuk khalwat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 12:14 PM