ANGGOTA Bomba menemui dua warga Singapura, Tan Chang Xiang Dominick, 27, dan Lum Jie, 27 dalam keadaan selamat. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba menemui dua warga Singapura, Tan Chang Xiang Dominick, 27, dan Lum Jie, 27 dalam keadaan selamat. FOTO ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


DUA sahabat warga Singapura yang dilaporkan sesat di Gunung Pulai sejak Isnin lalu ditemui selamat oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 50 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

Tan Chang Xiang Dominick, 27, dan Lum Jie, 27 ditemui Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Empangan Ulu Choh, Pekan Nanas pada 11.24 pagi selepas SAR melalui udara bermula 10 pagi semalam.

Difahamkan kedua-dua mangsa dikesan unit udara selepas melihat kocakan air di kawasan empangan dilakukan mereka.

Mereka dikatakan turun ke empangan itu bagi menarik perhatian pasukan SAR yang melakukan tinjauan udara.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Mohd Khairi Zainudin berkata, kedua-dua mangsa ditemui pasukan SAR yang melaksanakan misi mencari melalui udara.

“Mangsa kemudian diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan bot jabatan. Ambulans bomba ke kawasan empangan untuk rawatan lanjut sebelum dikejarkan ke Hospital Pontian,” katanya.

Pada Isnin lalu, dua warga Singapura dipercayai sesat di Hutan Gunung Pulai, pada 5.55 petang. Kedua-dua rakyat negara jiran itu dilaporkan hilang selepas pasukan keselamatan menerima panggilan kecemasan dari dari talian 999 pada 5.55 petang Isnin lalu.

Susulan itu, operasi SAR dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sukarelawan.

Mangsa kali terakhir dapat dihubungi pada jam 10 malam Isnin lalu.

Sementara itu Dzulkhairi yang juga Komander Operasi SAR mengesahkan mengenai penemuan rakyat negera jiran yang ditemui di kawasan Empangan Ulu Choh Pekan Nanas, Pontian.

“Pada 11.45 pagi pasukan udara SAR bertemu dengan mangsa dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 9:32 PM