HASRYMAN memeriksa beg suspek dalam serbuan Ops Noda di hotel di Jalan Penampang Bypass. FOTO Razik Zayad
HASRYMAN memeriksa beg suspek dalam serbuan Ops Noda di hotel di Jalan Penampang Bypass. FOTO Razik Zayad
Junaidi Ladjana


DUA wanita warga asing yang kononnya melancong ditahan kerana disyaki melacur dalam serbuan di hotel di Jalan Penampang Bypass, Penampang.

Serbuan dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah diketuai Inspektor Hasryman Osman.

Mereka turut menahan dua lelaki berusia 22 dan 48 tahun disyaki pelanggan.

Turut dirampas beberapa kotak kondom, pelincir, tiga telefon bimbit, kad bank, buku catitan dan RM1,175 tunai dipercayai hasil kegiatan pelacuran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman, berkata serbuan dilakukan D7 IPK Sabah ke atas dua bilik hotel.

“Hasil serbuan, polis menahan dua wanita warga Mongolia dan China kerana disyaki menawarkan khidmat seks.

“Siasatan lanjut mendapati suspek ini dipercayai mencari pelanggan dengan menggunakan WeChat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Salehhudin berkata, pemeriksaan pasport kedua-dua tangkapan didapati mereka baru beberapa hari masuk ke Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Siasatan masih diteruskan dan kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi tujuan persundalan,” katanya.

Difahamkan, tangkapan warga Mongolia yang disyaki terbabit aktiviti pelacuran adalah pertama di Sabah sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 11:13 AM