Muhammad Yusri Muzamir


TIGA individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah, dua tahun lalu.

Tertuduh Inspektor Mohd Asri Shahadan, 33, bersama Sarjan Abdul Aziz Mohamed, 39, dan isterinya Umaiyah Saed, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh dengan niat secara rasuah menerima wang RM1,800 daripada Mohamad Azzamudden Khalid, 22, untuk melepaskan motosikal Modenas Dinamik yang berada dalam tahanan Mohd Asri.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Ali Baba di Jalan Baru, Bukit Mertajam jam 12.15 tengah malam, pada 13 Mei 2016.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Nizam kemudian mengarahkan semua tertuduh menyerahkan pasport, selain membenarkan jaminan RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 16 Oktober ini bagi pengurusan kes.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri dan Azlan Basri, manakala Umaiyah serta Abdul Aziz diwakili peguam Abdul Roni Abdul Rahman sementara Mohd Asri diwakili peguam Noor Hisham Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 5:35 PM
(DARI kiri) Mohd Asri bersama Abdul Aziz dan Umaiyah diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. FOTO/VIDEO Danial Saad
(DARI kiri) Mohd Asri bersama Abdul Aziz dan Umaiyah diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. FOTO/VIDEO Danial Saad