NAZRIN. FOTO Arkib NSTP
NAZRIN. FOTO Arkib NSTP
Siraj Mohd Zaini

DUA anak tiri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, dibebaskan daripada tahanan reman, hari ini.

Ia selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan semakan bagi membatalkan tempoh reman tujuh hari terhadap mereka, sejak Ahad lalu.

Justeru, Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman mengarahkan kedua-dua remaja berusia 14 dan 16 tahun itu dibebaskan, petang ini.

Pada prosiding itu, remaja terbabit diwakili peguam bela Hisyam Teh Poh Teik dan LS Leonard.

Ahad lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan remaja berkenaan ditahan reman sehingga 15 September ini.

Dua beradik berkenaan ditahan di rumah datuk mereka di Taman Tun Dr Ismail, kira-kira 4 petang Sabtu lalu.

Pada 4 September lalu, polis menahan ibu dan bapa remaja berkenaan, sebelum kedua-duanya direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes terbabit.

Bagaimanapun, bapa mereka dibebaskan sebelum tamat tempoh reman pada 7 September lalu, manakala ibu pula masih ditahan sehingga Khamis ini.

Pada 3 Ogos, polis mengklasifikasikan semula kematian Nazrin sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ia selepas laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan kesan petrol di lokasi kejadian.

Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Mutiara Homes di Petaling Jaya, jam 12.20 tengah hari, 14 Jun lalu.

Mangsa berkhidmat di Cradle Fund, iaitu syarikat bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan di negara ini, sejak 15 tahun lalu dengan jawatan terakhir sebagai CEO.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 5:29 PM