MOHAMED Hanipa. FOTO arkib NSTP
MOHAMED Hanipa. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


BERSATU Terengganu menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin menyokong Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai tidak wajar.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris berkata, Mohamed Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang sepatutnya menggalakkan rakyat menggunakan tulisan jawi berbanding memberi sokongan kepada pertubuhan itu.

“Sepatutnya Mohamed Hanipa sebagai seorang Timbalan Menteri yang memegang portfolio undang-undang mengusulkan supaya semua pegawai dan kakitangan kerajaan, Menteri serta Timbalan Menteri menggunakan tanda nama dalam tulisan jawi.

“Selain itu, dia juga boleh mengusulkan kepada pihak berkuasa tempatan agar menggunakan tulisan jawi pada papan tanda termasuk pada papan tanda jalan dan lorong di kampung,” katanya.

Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia (MSM) menegaskan perkara itu sebagai mengulas kenyataan Mohamed Hanipa yang tidak bersetuju dengan tindakan polis memohon perintah mahkamah supaya Dong Zong tidak meneruskan persidangan membantah pengenalan Jawi di sekolah vernakular hari ini.

Timbalan Menteri Undang-Undang itu mengingatkan semua warga negara, tanpa mengira kaum atau agama, berhak menyuarakan kemarahan dan kekecewaan terhadap kerajaan.

Mohamed Hanipa dilaporkan berkata, beliau mungkin tidak bersetuju dengan Dong Zong tetapi menghargai hak asasi mereka untuk menyuarakan pandangan terhadap dasar kerajaan.

Beliau dalam kenyataan yang sama juga tidak bersetuju dengan pandangan yang mahukan Dong Zong diisytiharkan sebagai entiti haram.

Razali berkata, agak menghairankan apabila Mohamed Hanipa bukan saja menyanggah keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi menyokong orang bukan Islam dalam mempertikaikan penulisan tulisan jawi.

“Mohamed Hanifa diminta bermuhasabah dirinya walaupun negara kita ini adalah sebuah negara demokrasi, tetapi dalam hal menyentuh mengenai agama dan bangsa ia perlu penegasan.

“Kenyataannya sebagai pengamal undang-undang dan seorang menteri Melayu, Islam adalah tidak sesuai dan diharap beliau tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 4:24 PM