TIGA individu membabitkan dua anggota JPJ dan seorang pemilik sekolah memandu ditahan reman enahm hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung menerima suapan dalam mengeluarkan lesen memandu antarabangsa. FOTO Faiz Anuar.
TIGA individu membabitkan dua anggota JPJ dan seorang pemilik sekolah memandu ditahan reman enahm hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung menerima suapan dalam mengeluarkan lesen memandu antarabangsa. FOTO Faiz Anuar.
Norrasyidah Arshad


TIGA individu termasuk dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung suapan dalam mengeluarkan ‘lesen terbang’ bagi lesen memandu antarabangsa.

Ketika melakukan kesalahan itu, kedua-dua anggota itu bertugas di Bahagian Pelesenan Cawangan Bintulu, Sarawak dan melakukan kesalahan terbabit bermula pada 2015 lalu, manakala seorang lagi suspek adalah pemilik sekolah memandu di Damansara, Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga mereka yang direman itu berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, semua suspek ditahan selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada 2.30 petang semalam.

“Dua anggota JPJ termasuk seorang wanita itu kini berkerja di JPJ Bintulu dan Seremban, Negeri Sembilan.

“Berdasarkan siasatan awal, pemilik sekolah memandu itu bertugas mencari pembeli yang dilihat berpotensi terutama warga asing bagi mendapatkan lesen memandu dengan kadar segera tanpa melalui prosedur ditetapkan.

“Setiap lesen itu dikenakan caj antara RM3,000 hingga RM5,000 dan pengeluarannya akan dilakukan dua anggota JPJ terbabit,” katanya kepada NSTP.

Kata sumber itu, pihaknya masih menyiasat bagi mengetahui komisen diterima anggota JPJ berkenaan bagi setiap lesen dikeluarkan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 6:53 PM