PENDUDUK melihat bumbung surau yang diterbangkan akibat ribut pagi semalam.
PENDUDUK melihat bumbung surau yang diterbangkan akibat ribut pagi semalam.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: Lebih 30 jemaah termasuk penghuni Pusat Ilmu Dan Kemasyarakatan (PIDK) Sungai Baru Tengah, Kuala Kurau di sini, tidak sempat menunaikan solat Subuh di surau apabila rumah ibadat bersebelahan PIDK itu musnah akibat ribut, semalam.

Penghuni PIDK Sity Rokiah Ariff berkata, dia bersama lebih 20 jemaah di pusat itu bersiap untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di surau berkenaan sebelum mendengar deruan angin kuat disusuli hujan lebat pada jam 5.40 pagi.

“Saya bersama penghuni di sini sudah pun mengambil wuduk serta memakai telekung. Bagaimanapun, ketika hendak keluar rumah, hujan lebat dan tiba-tiba terdengar deruan angin.

“Tidak lama kemudian, terdengar bunyi dentuman kuat di kawasan berhampiran PIDK. Kami tergamam melihat bumbung surau diterbangkan ribut,” katanya di PIDK itu, semalam.

Sity Rokiah berkata, selain bumbung surau, pagar utama dan dua tiang yang menempatkan papan tanda kediaman pusat itu runtuh, manakala papan tanda sepanjang tiga meter diterbangkan hingga terkena sebuah rumah yang tidak berpenghuni di kawasan PIDK itu.

“Ketika itu, kami ketakutan dan ingatkan dunia nak kiamat. Saya sempat melaungkan azan, tetapi kaku di depan pintu rumah PIDKsebab ketakutan,” katanya.

Dalam pada itu, Imam Surau Sungai Baru Tengah, Mohd Juri Khadri berkata, dia yang tiba di surau itu untuk menunaikan solat Subuh terkejut melihat bumbung surau di atas jalan utama dan segera menghubungi pengerusi surau untuk memaklumkan kejadian.

“Surau yang mampu menempatkan 100 jemaah pada satu-satu masa itu kini tidak dapat digunakan sementara waktu kerana air hujanmembasahi segenap sudut surau dan air bertakung.

“Pihak surau akan berbincang dengan PIDK untuk mengguna pakai dewan utama kediaman itu sebagai surau sementara,” katanya.

Sementara itu, Yahya Mokhri yang juga pengerusi surau berkata, pihaknya mewujudkan tabung khas bagi mendapatkan dana membaik pulih surau yang rosak, selain berusaha mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan.

Katanya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti jumlah rumah yang terbabit dalam ribut yang berlaku kira-kira 30 minit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 4:30 AM