KEADAAN tengah rumah Rokiah Mohamed yang basah selepas dapur rumahnya dipukul ribut, dalam kejadian tengah hari tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
KEADAAN tengah rumah Rokiah Mohamed yang basah selepas dapur rumahnya dipukul ribut, dalam kejadian tengah hari tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: Lima sekeluarga tidak sempat menikmati makan tengah hari apabila bumbung dapur rumah mereka di Kampung Seberang Perai, Sungai Petai di sini, tercabut diterbangkan ribut, hari ini.

Mangsa, Rokiah Mohamed, 69, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu dia bersama dua cucunya berusia lapan serta 11 tahun berada di ruang tamu sementara menunggu untuk makan tengah hari.

"Kejadian berlaku amat pantas, anak dan menantu yang ketika itu berada di dapur terus berlari ke ruang tamu apabila bumbung tercabut," katanya.

Menurut nenek kepada 14 cucu itu, selain dapur, bahagian ruang makan rumahnya turut basah hujan.

"Selepas hujan berhenti kami mula mengemas bahagian dapur selain turut berharap dalam tempoh terdekat ini cuaca tidak hujan.

"Agak buntu fikirkan untuk baiki bumbung yang hilang itu, entah bila dapat menggantinya," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya yang mesra dipanggil Mak Lang Rokiah berkata, pada awal Ramadan lalu rumahnya turut dipukul ribut tetapi hanya membabitkan keretakan di struktur batu bahagian atas.

"Benda nak jadi, walau apa pun saya bersyukur kerana kami semua selamat," katanya.

#kw ribut, bumbung, tercabut, Alor Gajah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 7:34 PM