PELAJAR dan guru bergambar selepas menyertai Program Terengganu Turtle Camp 2018 di Pantai Ma’ Daerah, dekat Chukai, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
PELAJAR dan guru bergambar selepas menyertai Program Terengganu Turtle Camp 2018 di Pantai Ma’ Daerah, dekat Chukai, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


SEBANYAK 50 penyu dilaporkan mati di seluruh Terengganu tahun lalu dengan Mac dan Mei mencatat jumlah tertinggi iaitu masing-masing 12 kes.

Pegawai Kanan Konservasi Marin Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, Sharifah Ruqiayah Syed Mustaffa, berkata tiga penyu ditemui mati pada Januari tahun lalu, Februari (empat), Mac (12), April (sembilan), Mei (12), Jun (satu), Julai (lima) dan Ogos (empat).

Bagaimanapun, katanya, sebanyak lapan penyu berjaya diselamatkan sepanjang tahun ini atas keprihatinan masyarakat yang melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perikanan Terengganu.

“Semua penyu diselamatkan itu ditemui sakit dan terdampar di pantai di seluruh negeri ini sebelum dibawa menjalani rawatan di Pusat Konservasi Penerangan Penyu (FRI) Rantau Abang.

“Daripada jumlah itu, ada yang sudah pulih dan dilepaskan semula ke laut dan ada yang masih menjalani rawatan.

“Keprihatinan masyarakat menggembirakan kami...oleh itu program kesedaran berkait dengan penyu akan terus kami pergiatkan,” katanya selepas program Terengganu Turtle Camp 2018 anjuran WWF Malaysia dan Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) di Pantai Ma’ Daerah di Kertih, Chukai, hari ini.

Program tiga hari dua malam itu disertai 50 pelajar dan guru pengiring dari seluruh Terengganu dan bertujuan memberi kesedaran memulihara khazanah alam termasuk penyu supaya tidak pupus selain mengenali ilmu sains dan alam sekitar.

Sharifah berkata, semua program kesedaran dilaksanakan badan itu turut dijayakan bersama pelajar, masyarakat dan nelayan.

“Masyarakat dan nelayan perlu segera melaporkan sekiranya mereka menemui penyu sakit atau tercedera tersangkut di jaring kepada pihak berkuasa.

“Kami memandang serius dan sangat sedih apabila mendapat tahu terdapat kes kematian penyu di Terengganu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 3,889 pendaratan penyu dicatatkan.

Katanya, sebanyak 337,747 telur yang menetaskan 272,818 anak penyu direkodkan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 11:56 PM