ZAWAWI Ali (tengah) pada sidang media selepas menghadiri Program Engagement Pengurusan Penyu Bersama Pengusaha Resort & Pengusaha Bot Pelancong Pulau Perhentian.
ZAWAWI Ali (tengah) pada sidang media selepas menghadiri Program Engagement Pengurusan Penyu Bersama Pengusaha Resort & Pengusaha Bot Pelancong Pulau Perhentian.
Nurul Fatihah Sulaini


JERTIH: Kajian terperinci akan dilaksanakan bagi mengenal pasti punca dua spesies penyu tidak mendarat di pantai negeri ini meskipun berada dalam perairan Terengganu.

Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali berkata, empat daripada tujuh spesies penyu dunia seperti penyu belimbing, penyu lipas, penyu karah dan penyu agar mendarat di Terengganu.

“Namun penyu lipas kali terakhir mendarat di pantai Terengganu pada 2003 dan penyu belimbing pula September 2017.

“Bilangan pendaratan penyu karah dan penyu agar semakin merosot setiap tahun. Kami khuatir perkara sama membabitkan penyu lipas dan penyu belimbing,” katanya.

Beliau berkata, demikian selepas menghadiri Program Engagement Pengurusan Penyu Bersama Pengusaha Resort & Pengusaha Bot Pelancong Pulau Perhentian di sini, kelmarin.

Zawawi berkata, pihaknya merancang menganjurkan bengkel pelan pengurusan strategik penyu di Terengganu Oktober depan.

“Kerajaan negeri meluluskan peruntukan untuk melaksanakan bengkel dijangka membabitkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tabung Alam Sedunia (WWF) dan pihak terbabit dengan pengurusan penyu.

“Sepanjang penganjuran bengkel itu nanti, kami akan melihat semula undang-undang dan enakmen yang lemah berkaitan penyu,” katanya.

Katanya, bagi meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan penyu, satu program bersama pengusaha resort dan bot pelancong akan diadakan di Pulau Redang.

Menurutnya, pelaksanaan program juga membabitkan penduduk kampung dan pelajar sekolah di Pulau Perhentian serta Pulau Redang secara berperingkat.

“Maklum balas diterima sangat baik kerana ramai sebenarnya tidak tahu mengenai undang-undang, apa yang boleh dan dilarang dilarang dilakukan kepada penyu.

“Menjadi satu kesalahan apabila ada pihak cuba menyentuh penyu secara fizikal termasuk duduk atas badan. Jika dikesan berbuat demikian individu atau pihak berkenaan boleh didakwa mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Zawawi berkata, kesedaran perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat bagi memastikan bilangan penyu mendarat di negeri ini kembali meningkat, sekali gus menarik kunjungan lebih ramai pelancong ke Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 5:30 AM