PEMANDANGAN indah dengan di Pulau Tengah, Mersing.
PEMANDANGAN indah dengan di Pulau Tengah, Mersing.
Essa Abu Yamin

Mersing: Pulau Tengah terletak kira-kira 16 kilometer dari pantai Mersing yang kaya dengan pelbagai kehidupan marin antara destinasi menarik yang boleh dipertimbangkan jika anda bercadang untuk bercuti ke Johor bersama keluarga.

Ketika era 70-an, pulau ini menjadi terkenal sebagai kem transit pelarian Vietnam yang kemudiannya ditutup pada awal 80-an.

Pulau Tengah adalah salah satu pulau diwartakan oleh kerajaan Malaysia sebagai taman laut kerana ia habitat bagi ikan dan terumbu karang yang jarang ditemui.

Pulau ini juga sebuah tempat untuk menyaksikan penyu belimbing gergasi mendarat ke pantai untuk bertelur sepanjang bulan Julai setiap tahun.

Penyelaras Program Jangkauan Tengah Island Conservation, Mohd Alzam Mohd Affandy berkata, pada tahun 2018, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan Pusat Konservasi di Batu-Batu Resort sebagai Pusat Pemuliharaan Tunku Abdul Jalil di Pulau Tengah di sini.

"Pusat itu dinamakan sempena nama Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang mempunyai minat mendalam dalam bidang zoologi dan konservasi selain individu yang cintakan haiwan.

"Pusat berkenaan dikendalikan empat saintis sepenuh masa, pelatih biologi dan sukarelawan yang akan menjalankan pelbagai projek mengenai kehidupan marin dan konservasi," katanya.

Menurut beliau, ianya merangkumi projek pemuliharaan laut, penetasan penyu serta program pendidikan pelajar dan komuniti dalam usaha memberi kesedaran terhadap isu alam sekitar.

"Usaha ini secara tidak langsung menyuntik kesedaran dalam kalangan pengusaha pelancongan di daerah ini supaya bertanggungjawab dalam melindungi sumber alam semula jadi.

"Pusat Konservasi Tunku Abdul Jalil bekerja keras dan komited dalam memelihara penyu hijau dan penyu sisik di kepulauan Mersing untuk menjaga serta melindungi haiwan terancam dan pihak kami mengambil langkah dengan menempatkan semula sarang penyu ke dalam hatceri.

MOHD Alzam (tengah) memberi taklimat kepada pengamal media mengenai pusat konservasi penyu di Pulau Tengah, Mersing.
MOHD Alzam (tengah) memberi taklimat kepada pengamal media mengenai pusat konservasi penyu di Pulau Tengah, Mersing.

"Selain itu, aktiviti rondaan bot, pemantauan populasi sarang penyu di sekitar kepulauan Mersing turut dilakukan serta program penandaan tag pada penyu betina dewasa," katanya.

Tambah beliau, pusat konservasi turut memelihara ekosistem marin dan daratan melalui penyelidikan saintifik serta kerja pemulihan yang praktikal dengan melakukan pemantauan dan pemetaan kawasan terumbu karang serta pemuliharaan dan nurseri terumbu karang.

"Pemuliharaan bakau, nurseri pokok, inventori flora dan fauna, pembersihan dalam laut dan pantai serta kajian mikroplastik turut dilaksanakan oleh pusat konservasi ini.

"Kami juga bekerjasama dengan komuniti dan pihak berkuasa untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan dengan melakukan beberapa program seperti Pasukan Pendidik Ekologi dan Alam Sekitar (PEDAS), program sekolah dengan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan pihak berkuasa kerajaan," katanya.

Katanya, program pembersihan pantai bersama komuniti dan pendidikan mengenai kelestarian kepada pelancong dan pengendali pelancongan turut diadakan.

"Rakan saintifik dan pemuliharaan yang kita jalinkan adalah penting dalam kerja pemuliharaan yang dilakukan.

"Kami bekerjasama dengan mereka dalam menjalankan aktiviti yang melibatkan komuniti, projek pendidikan, perkongsian kerja dan data penyelidikan, pengumpulan dana, perundingan dan menjalankan acara yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 6:00 AM