ISMADI (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar individu ditahan dan dadah dirampas dalam serbuan di kondominium mewah di Seri Kembangan ketika sidang media di IPD Serdang, hari ini. FOTO Azhar Ramli.
ISMADI (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar individu ditahan dan dadah dirampas dalam serbuan di kondominium mewah di Seri Kembangan ketika sidang media di IPD Serdang, hari ini. FOTO Azhar Ramli.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 45 individu termasuk lapan wanita yang menyertai pesta dadah dan seks ditahan dalam serbuan di kondominium mewah di Seri Kembangan, Serdang, pagi kelmarin.

Sembilan daripadanya adalah pelajar sekolah menengah di sekitar Serdang dan turut ditahan kerana positif dadah.

Mereka berusia antara 14 hingga 26 tahun itu dicekup pada 3.45 pagi hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, individu yang menyertai pesta berkenaan terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan penuntut universiti.

Menurutnya, kumpulan berkenaan menerima undangan daripada penganjur dengan bayaran RM60 seorang.

“Penganjur menyewa sebuah kondominium dengan harga RM390 semalam sebelum mengadakan parti liar.

“Kumpulan berkenaan dihidangkan dengan pelbagai jenis dadah termasuk ganja, ketamin dan methaphetamin,” katanya pada sidang media di IPD Serdang, hari ini.

Ismadi berkata, ketika serbuan dilakukan semua individu berkenaan berada dalam keadaan khayal.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan kumpulan berkenaan terbabit dengan pesta seks selepas berada dalam keadaan khayal.

“Mereka menggunakan kod rahsia dan aktif di dalam aplikasi WeChat untuk menganjurkan pesta liar.

“Siasatan mendapati seramai 33 individu positif dadah jenis ganja dan methapehatamine.

“Polis turut merampas 11 biji pil ekstasi dan 0.44 gram dadah jenis ketamin.

“Semua mereka ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 5:07 PM