ANGGOTA bomba mengangkat mangsa lemas ketika mandi kawasan lombong di Kampung Parit Gong, Pertang, Jelebu, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
ANGGOTA bomba mengangkat mangsa lemas ketika mandi kawasan lombong di Kampung Parit Gong, Pertang, Jelebu, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


LELAKI Orang Asli ditemui lemas selepas dikatakan terjun ke dalam lombong di Kampung Parit Gong, Pertang di Jelebu untuk menyejukkan badan ketika memancing, semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, dalam kejadian jam 6 petang, mangsa Azuan Noorman, 34, dari Kampung Air Lerek, Johol datang ke lombong berkenaan bersama tiga rakannya untuk memancing ikan.

Katanya, mangsa bersama seorang rakannya dikatakan terjun ke dalam lombong untuk mandi bagi menyejukkan badan selepas mendakwa kepanasan.

“Sebaik terjun, seorang daripadanya timbul semula ke permukaan, bagaimanapun mangsa tidak muncul menyebabkan rakan-rakanya mula panik.

“Rakan mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 7.20 malam (semalam) sebelum gerakan mencari dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa ditemui di dasar lombong berkedalaman tujuh meter oleh pasukan penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Port Dickson, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Mohd Afandi Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.19 malam semalam dan bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, seramai 23 anggota dan pegawai termasuk skuad penyelam bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam SAR berkenaan.

“Operasi mencari dan menyelamat bagaimanapun terpaksa ditangguhkan pada jam 11 malam sebelum disambung semula jam 7.30 pagi tadi oleh pasukan penyelam.

“Mayat mangsa ditemui jam 11.03 pagi tadi, dan diserahkan kepada pihak polis sebelum hantar ke Hospital Jelebu untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 4:00 PM