MAHFUZ (tiga kanan) menziarahi Shahmiza (kiri) di rumah keluarga mentuanya di Taman Jaya, Lukut, Port Dickson, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
MAHFUZ (tiga kanan) menziarahi Shahmiza (kiri) di rumah keluarga mentuanya di Taman Jaya, Lukut, Port Dickson, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Raja Noraina Raja Rahim


“SETIAP hari saya ingatkan mereka (dua anak) yang ayah sudah tiada dan tidak akan kembali lagi,” kata Shahmiza Salleh, 32.

Isteri anggota bomba Adnan Othman, 33, yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lemas di sebuah lombong di Puchong, malam Rabu lalu itu berkata, dia bersyukur apabila dua anaknya memahami situasi dan tidak meragam.

Shahmiza berkata, dia akan mengingatkan anak sulung, Nur Aishah Damia, 4, yang sangat rapat dengan arwah bapanya setiap hari bahawa bapanya itu sudah tiada.

Katanya, dia juga bersyukur apabila kedua-dua anaknya iaitu Nur Aishah dan Nur Aliyah Maisarah, 2, seolah-olah memahami mengenai kematian bapanya.

“Alhamdulillah, saya tiada masalah menguruskan anak-anak saya kerana di sini (rumah mentua) ramai kawan dan mereka leka bermain. Setakat ini, mereka belum cari ayah.

“Namun, saya sentiasa mengingatkan anak saya yang ayah mereka sudah tiada dan tidak akan kembali lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarga mentua di Taman Jaya Lukut, Port Dickson, hari ini.

Terdahulu, Shahmiza menerima kunjungan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang meluangkan masa selama 30 minit bersama keluarga mangsa.

Semalam, beliau turut menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, enam anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Selangor terkorban ketika melakukan usaha SAR seorang remaja di kawasan lombong berkenaan.

Empat daripada mangsa terkorban adalah anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Manakala, dua lagi anggota BBP Shah Alam adalah Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 7:09 PM