PESERTA bergambar selepas tamat program  dianjurkan AADK di Pusat Latihan AADK, Sungai Petani, hari ini. FOTO ihsan AADK.
PESERTA bergambar selepas tamat program dianjurkan AADK di Pusat Latihan AADK, Sungai Petani, hari ini. FOTO ihsan AADK.
Safeek Affendy Razali


AGENSI Anti Dadah Kebangsaan Malaysia (AADK) menganjurkan program ‘Latihan Rawatan Dadah Bagi Negara Anggota ASEAN 2018’ sebagai satu komitmen dalam membangun dan memantapkan program rawatan serta pemulihan dadah.

Program bermula 30 Julai lalu dan berakhir hari ini adalah inisiatif negara sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja berkaitan Rawatan dan Pemulihan, ASEAN Senior Officials on Drug Matters (ASOD).

Ia sebagai komitmen dalam membangun dan memantapkan program rawatan dan pemulihan dadah, sekali gus memberi manfaat kepada negara anggota ASEAN.

Unit Media dan Komunikasi Korporat AADK, berkata melalui program ini, ia memberi fokus kepada pemantapan keupayaan pengamal rawatan dan pemulihan dadah dalam melaksanakan intervensi berasaskan bukti.

“Selain itu, ia bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta berkaitan rawatan dan pemulihan dadah.

“Ia adalah landasan bagi pertukaran pengetahuan dan pengalaman serta jalinan kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN dalam bidang rawatan dan pemulihan dadah,” katanya dalam kenyataan di Pusat Latihan AADK, Sungai Petani, hari ini.

Katanya, program itu dapat memantapkan strategi dan tindakan berkaitan rawatan dan pemulihan seperti terkandung dalam ‘ASEAN Work Plan to Secure Communities Against Illicit Drugs 2016-2025’.

Kerjasama ini jelas menunjukkan komitmen tinggi Malaysia dalam perkongsian maklumat, pengalaman dan amalan terbaik negara dengan negara lain di rantau Asean dalam bidang rawatan dan pemulihan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 9:42 PM