Prof Peter Reuter sewaktu memberi ucapan di hadapan Dr Abd Halim (duduk, dua dari kiri) di Kajang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Prof Peter Reuter sewaktu memberi ucapan di hadapan Dr Abd Halim (duduk, dua dari kiri) di Kajang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Rizanizam Abdul Hamid


PERSATUAN artis perlu mengadakan program kesedaran dadah yang lebih kerap membabitkan semua artis di negara ini walaupun mereka tidak pernah 'dikenali' terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, program terbabit sudah bermula dengan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) namun perlu lebih diperkasakan.

Menurut beliau, program pencegahan mewujudkan kesedaran bahaya dadah tidak boleh dianggap remeh kerana gejala itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk golongan tumpuan masyarakat seperti artis.

"Dengan bukti berlaku hari ni (kes dadah Datuk Farid Kamil Zahari), kami harap semua pihak mengambil iktibar memainkan peranan mengikut kemampuan masing-masing termasuk tampil kepada AADK untuk berdiri sebaris membanteras dadah.

"Kita tahu memang banyak sebenarnya (artis) terbabit (dadah) sama ada secara agresif atau pun tidak namun tidak bolehlah mendedahkannya," katanya pada Program 'International Drug Talk Series High Level Stakeholders Discussion on Drugs Policy' di Ibu Pejabat AADK, Kajang hari ini.

Forum taklimat dan soal jawab majlis itu diketuai pakar pembuat dasar dan analisis dadah antarabangsa merangkap profesor di Sekolah Dasar Awam dan Jabatan Kriminalogi University of Maryland Amerika Syarikat, Prof Peter Reuter.

Mengulas lanjut Abd Halim berkata, isu penggunaan dadah dalam kalangan artis di Malaysia bukan perkara baru terutama membabitkan artis popular.

"Saya tak mahu menyebut nama secara rambang kerana mereka bukanlah artis yang pernah dikenali dengan isu dadah seperti mana kita ketahui membabitkan sesetengah artis.

"Untuk mempertahankan kedudukan popular itu mereka mendakwa perlukan sesuatu yang lain dan tanpa disedari berpotensi (bergantung kepada dadah) jika artis itu tidak kuat," katanya.

Forum dihadiri seramai 200 wakil pelbagai agensi kerajaan, universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam rangka kerja Dasar Dadah Kebangsaan dan meningkatkan kesedaran tentang situasi semasa dalam polisi dan dasar dadah di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 3:42 PM