SYED Saddiq etika sidang media di lobi Parlimen, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
SYED Saddiq etika sidang media di lobi Parlimen, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Mohd Anwar Patho Rohman


PERSATUAN belia di negara ini akan dirombak dan dibersihkan supaya tidak lagi dilihat sebagai 'macai’ politik kepada mana-mana parti politik.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, langkah itu juga bertujuan mengembalikan kuasa persatuan belia sebagai kumpulan pendesak dan pengkritik dalam menentukan hala tuju kerajaan.

“Ada persatuan belia seperti GPMS (Gabungan Persatuan Mahasiswa Semenanjung), Majis Belia Malaysia (MBM) dan Belia 4B (Gerakan Belia 4B) yang menerima peruntukan kerajaan akhirnya pada satu tahap boleh jadi ‘macai’ politik.

“Saya beri contoh, ketika saya nak terima Anugerah Belia Negara empat tahun lalu, MBM secara terbuka memberi sokongan kepada GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan).

“Apabila saya tanya kenapa buat ini (majlis), mereka kata dapat peruntukan RM5 juta daripada Perdana Menteri dan terpaksa buat.

“Saya mahu selepas ini walaupun peruntukan diberi, persatuan belia bebas mengkritik kerajaan dan mengembalikan status kumpulan belia sebagai pendesak sekali gus meneutralisasi kumpulan belia,” katanya ketika menggulung usul titah diraja bagi pihak kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Istilah ‘macai’ politik yang digunakannya menyebabkan beberapa ahli dewan bangun memohon penjelasan mengenai istilah terbabit.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-UMNO Pengerang) bertanya jika apa yang dimaksudkan Syed Saddiq sebagai ‘macai’ politik ialah pemimpin belia yang mempunyai kedudukan dalam parti politik.

Menteri berkenaan menjawab, tidak salah bagi anak muda mempunyai pandangan mengenai politik tetapi ia menjadi ‘macai’ apabila menyokong kerajaan kerana mendapat peruntukan setiap tahun.

Terdahulu, Syed Saddiq berkata, kementeriannya akan melaksanakan program khas bagi mengukuhkan persatuan belia menerusi tujuh agenda dipanggil Program Pemerkasaan Belia atau Youth Power.

Katanya, ia termasuk menurunkan usia belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun dan mewujudkan Indeks Belia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 8:09 PM