SYED Saddiq ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri 2018 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS). -Foto BERNAMA
SYED Saddiq ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri 2018 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS). -Foto BERNAMA
Mohd Husni Mohd Noor


PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menetapkan pengarah majlis sukan di peringkat negeri tidak dilantik daripada mana-mana pemimpin parti politik bagi mengelak sebarang pertembungan antara politik dan sukan.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak mahu perkara itu berlaku kerana dibimbangi akan wujud kepentingan peribadi dan konflik.

“Kita akan buat piawaian dan penetapan bahawa pengarah majlis sukan negeri bukan daripada pimpinan tertinggi parti politik.

“Di bawah kerajaan sebelum ini, pengarah majlis sukan negeri dilantik dalam kalangan pimpinan politik. Bagaimanapun, kali ini ia (pelantikan pengarah) perlu bebas daripada politik kepartian dan boleh dilantik dalam kalangan bekas atlet; tokoh korporat dan pegawai tadbir diplomatik atau mereka yang sudah lama dalam bidang sukan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bersama Exco Belia dan Sukan Negeri di sini, hari ini.

Katanya, kementerian sudah menamatkan tugas 11 individu lantikan politik yang memegang jawatan tertinggi di Perbadanan Golf Subang, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Perbadanan Stadium Malaysia dan Institut Sukan Negara.

Syed Saddiq berkata, bagi jawatan pengerusi majlis sukan negeri pula, ia masih dipegang dan dilantik dalam kalangan exco belia dan sukan negeri.

Dalam pada itu, katanya, beliau juga mahu memastikan persatuan dan kumpulan belia tidak dilantik daripada mana-mana pimpinan parti politik.

“Kita akan letakkan prasyarat supaya mereka betul-betul mewakili anak muda bawah 35 tahun selaras usaha kementerian untuk menetapkan usia belia dari usia 40 tahun ke 30 tahun.

“Kita tidak mahu lagi pimpinan mana-mana parti politik mendominasi kumpulan-kumpulan belia ini, kalau ada sila letak jawatan,” katanya.

Sementara itu, katanya, beliau juga akan melawat kemudahan sukan, kompleks belia dan stadium di beberapa buah negeri termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi melihat kemudahan yang ditawarkan di pusat berkenaan.

“Saya akan melawat negeri berkenaan mulai bulan depan. Kita mahu lihat bagaimana kerjasama boleh diwujudkan antara negeri-negeri itu khususnya membabitkan pembangunan sukan dan belia serta kemudahan sukan yang disediakan,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan, Syed Saddiq berkata, mesyuarat itu turut memuktamadkan penubuhan ahli lembaga majlis sukan negara di peringkat pusat selepas 10 tahun ia tidak diaktifkan.

“Selepas lebih 10 tahun, ia (ahli lembaga majlis sukan negara) diaktifkan semula bagi memastikan tiada pemusatan kuasa dan memastikan program pembangunan sukan di setiap negeri dapat dilakukan tanpa mengira fahaman politik.

“Dalam sukan perlu ada usaha menyatupadukan semua dan selepas perbincangan tadi, menteri tidak akan melantik kawan-kawannya sebaliknya kita lantik exco belia negeri untuk mewakili ahli lembaga pengarah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 6:32 PM