DUA daripada tiga suspek yang terbabit dalam kes menyerang polis dibawa ke Mahkamah Sungai Petani untuk mendapat perintah tahanan reman, hari ini. FOTO Omar Osman.
DUA daripada tiga suspek yang terbabit dalam kes menyerang polis dibawa ke Mahkamah Sungai Petani untuk mendapat perintah tahanan reman, hari ini. FOTO Omar Osman.
Omar Osman


POLIS menembak seorang lelaki disyaki pengedar dadah selepas suspek bertindak menyerang anggotanya di Jalan Modenas-Jeniang, Sungai Petani, malam tadi.

Dalam kejadian 11.25 malam itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuala Muda cuba menahan sebuah kereta dinaiki tiga lelaki berusia antara 36 hingga 40 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam, berkata bagaimanapun salah seorang suspek membuka bonet kereta dan mengeluarkan senjata sebelum cuba menyerang anggota polis.

“Anggota terbabit sudah melepaskan tembakan amaran dan mengarahkan suspek menyerah diri, namun lelaki berkenaan masih cuba menyerang mereka menyebabkan tembakan ke arahnya terpaksa dilepaskan.

“Berikutan itu, suspek terkena tembakan pada paha kiri sebelum dia ditahan bersama dua lagi rakannya yang menyerah diri lebih awal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek menemui sejumlah serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dengan kuantitinya masih belum dapat disahkan.

Sazalee berkata, suspek yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 4:41 PM