PERTUNJUKAN pentomin sempena Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2018 di Dataran Pahlawan, Putrajaya.
PERTUNJUKAN pentomin sempena Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2018 di Dataran Pahlawan, Putrajaya.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Mengiktiraf perjuangan komunis dan memasukkannya dalam sejarah negara adalah satu ‘penghinaan’ kepada ribuan nyawa anggota keselamatan yang terkorban termasuk yang pernah bersabung nyawa mempertahankan negara.

Brigadier Jeneral (B) Datuk Jamil Rais ketika ditemui berkata, cadangan dan usaha untuk mengangkat perjuangan komunis itu adalah perkara yang sensitif untuk diterima terutama bagi anggota keselamatan yang hidupnya diabdikan kepada perjuangan menentang komunis ketika masih dalam perkhidmatan.

“Saya memasuki tentera dengan gaji RM360 sebagai leftenan dan dengan gaji sebanyak itu, kita (tentera) letak (mempertaruhkan) nyawa kita.

“Ramai yang cakap kami gila kenapa terima kerja bergaji RM360, namun kami menerimanya atas semangat kenegaraan yang tinggi,” katanya ketika ditemui sejurus sambutan Istiadat Hari Pahlawan Negara 2018 di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, di sini, semalam.

Jamil hadir sebagai jemputan khas program sambutan itu bagi menghargai jasanya mempertahankan negara daripada serangan komunis dalam Operasi Iblis di Hutan Korbu, Sungai Siput dan Tanah Hitam, Perak pada 31 Mei 1971.

Wira lain yang hadir termasuk Kapten (B) Datuk Azmi Abdul Hamid, Leftenan Kolonel (B) Harbajan Singh, Leftenan Kolonel (B) Harbans Singh, Kapten (B) Ariffin Yaakob dan Abang Bolhi Abang Doladi.

Katanya, ramai anggota keselamatan terkorban, malah ada yang cacat anggota akibat pertempuran menentang komunis sekitar tahun 1970-an.

Jamil berkata, sebarang usaha mengiktiraf perjuangan komunis boleh dianggap sebagai satu bentuk penghinaan kepada pengorbanan dilakukan anggota keselamatan negara.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha dilakukan beberapa pihak yang mahu perjuangan komunis dimasukkan dalam sejarah negara sepertimana dibangkitkan dalam forum bertajuk, A People’s History of Malayan Emergency, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 11:11 AM