Antara persembahan pentomin pada majlis Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan, Putrajaya. FOTO Ahamd Irham Mohd Noor
Antara persembahan pentomin pada majlis Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan, Putrajaya. FOTO Ahamd Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


GOLONGAN muda Transformasi Nasional (TN50) perlu menjiwai semangat dan roh kepahlawanan generasi terdahulu yang banyak berkorban dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, semangat kepahlawanan itu penting bagi membolehkan negara berada pada tahap lebih tinggi sekali gus mencapai cita-cita untuk tersenarai dalam kalangan 20 negara termaju di dunia.

Beliau berkata, kerajaan pada dasarnya menganggap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai aset terpenting kerana sumbangan pasukan itu dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.

“Justeru, sebagai negara dan kerajaan, kita perlu menjaga kebajikan dan kesejahteraan anggota pasukan keselamatan ini sama ada yang masih berkhidmat atau sudah menjadi veteran. Malah, kerajaan akan sentiasa mengkaji kemudahan dan kebajikan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini.

Katanya, usaha mengenang dan mengiktiraf budi serta jasa pasukan keselamatan negara bukan hanya dikenang pada Hari Pahlawan sahaja sebaliknya perlu diingati setiap hari dan sepanjang tahun.

Najib berkata, masyarakat perlu faham bahawa tanpa keselamatan negara tidak mungkin negara meraih pelbagai kejayaan seperti yang dinikmati sekarang.

Justeru, katanya, tanpa keamanan dan keselamatan, negara tidak mungkin mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi serta mendapat pengiktirafan dari pelbagai badan penarafan dunia.

Sambutan Hari Pahlawan 2017 bermula kira-kira jam 9 pagi menerusi pemeriksaan barisan Kawalan Kehormatan Utama oleh Perdana Menteri disusuli bacaan sajak pahlawan oleh Superintendan Rose Baini Kassim dari PDRM dan Leftenan Bakhri Shah Abdullah dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Program kemudian diteruskan dengan persembahan pentomin yang memaparkan kisah perjuangan Pasukan F, pasukan elit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerangi pengganas komunis di Ladang Kepong Meh, Mentakab, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 3:55 PM