Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, seramai 80 peserta daripada 16 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Kelantan mengadakan konvoi serta lawatan ke rumah bekas perajurit yang tercedera dalam operasi menentang komunis.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Cawangan Negeri Kelantan dan Terengganu, Mejar Syed Mohamed Ifandi Syed Jaafar berkata, konvoi yang julung kali diadakan itu adalah bertujuan untuk menghargai jasa perajurit yang sanggup mengadaikan nyawa demi mempertahankan negara daripada serangan komunis.

Katanya, generasi pada hari ini, sepatutnya melahirkan rasa bersyukur dan terhutang budi di atas pengorbanan perajurit negara yang berkorban jiwa dan raga demi mendaulatkan bumi tercinta ini.

"Ketika kita menikmati keselesaan dan kesenangan hari ini, kita perlu sedar atas segala kesukaran, pahit maung dan penderitaan yang dihadapi bekas perajurit terutama yang cacat dan hilang upaya kekal ketika mempertahankan pertiwi.

"Nikmat kemakmuran, keamanan dan keselamatan yang dikecapi kini tidak datang dengan sendirinya, tetapi adalah hasil pergorbanan pahlawan. Justeru itu, jangan sesekali melupakan jasa mereka yang berkorban untuk negara," katanya kepada pemberita selepas Program Pelepasan Konvoi Jejak Perwira Veteran ATM di Dataran Rehal, di sini, hari ini.

WAN Roslan Wan Hamat (berbaju putih) melepaskan Konvoi Jejak Perwira Veteran ATM di Dataran Rehal. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
WAN Roslan Wan Hamat (berbaju putih) melepaskan Konvoi Jejak Perwira Veteran ATM di Dataran Rehal. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat melepaskan konvoi berkenaan yang melawat tiga bekas veteran PVATM yang tercedera ketika menentang komunis.

Antara mereka yang dilawati ialah Leftenan Kolonel (B) Muhamad Izam Omar,Pegawai Waren II (PWII) Ahmad Mahmud, dan Koperal Nekya Noor yang masing-masing tercedera dan hilang keupayaan kekal selepas terkena jerangkap samar selepas terbabit dalam operasi menentang komunis.

Mengulas lanjut, Syed Mohamed Ifandi berkata, pejuang tidak mengharapkan belas ihsan atau meminta jasa mereka dibalas wang ringgit, tetapi sebagai rakyat yang prihatin dan mengenang jasa, kita harus memain peranan membantu semua pewira ini.

"Saya menasihati veteran supaya menjadi ahli mana-mana persatuan veteran tentera bagi memudahkan bantuan disalurkan khususnya bagi veteran yang berada di luar bandar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 1:51 PM