SULTAN Nazrin membalas  tabik hormat di perbarisan kawalan kehormatan. FOTO L Manimaran
SULTAN Nazrin membalas tabik hormat di perbarisan kawalan kehormatan. FOTO L Manimaran
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2016 peringkat negeri di perkarangan Dewan Bandaran Ipoh di sini, hari ini.

Baginda berdua turut ditemani dua anakanda, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan Exco kerajaan negeri.

Sultan Nazrin kemudiannya berkenan memeriksa kawalan kehormat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen 2 Kem Sungai Besi.

Acara sambutan bermula dengan bacaan doa sebelum persembahan nyanyian koir dari 105 pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tarsician Convent dan SMK Convent dengan lagu Nyalakan Tekad, Sehati Sejiwa dan Jalur Gemilang.

Majlis diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 116 kontinjen yang disertai kira-kira 6,000 peserta dari pelbagai agensi dan kerajaan tempatan; pasukan beriniform universiti awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Antara kontinjen yang menyertai perbarisan berkenaan termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.

Menariknya sambutan kali ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak buat pertama kalinya menyertai perarakan kenderaan yang membabitkan kenderaan operasi jabatan itu serta dua buah kenderaan rampasan lucut hak.

Kira-kira 10,000 rakyat negeri ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum menghadiri sambutan berkenaan untuk menunjukkan semangat patriotik masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 11:00 AM