AIZAT Azizi, 18, (kanan) mengusung jenazah rakannya, Muhamad Shamin Ashraf, 25, yang lemas di Pantai Batu Buruk ke dalam van jenazah untuk dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Melayu Air Hitam, Pulau Pinang. FOTO Zaid Salim
AIZAT Azizi, 18, (kanan) mengusung jenazah rakannya, Muhamad Shamin Ashraf, 25, yang lemas di Pantai Batu Buruk ke dalam van jenazah untuk dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Melayu Air Hitam, Pulau Pinang. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


“SAYA hampir lemas ketika cuba selamatkan arwah. Terkilan tidak dapat selamatkan dia," kata Aizat Azizi, 18, rakan Muhamad Shamin Ashraf Rahim Raja, 25, yang lemas ketika mandi di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Aizat yang ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal pagi hari ini berkata, selepas mendapati rakannya terkapai-kapai, dia segera berenang bagi menyelamatkan rakannya itu.

"Saya dah capai tangan dia dan ketika saya menariknya, dia melonjak ke atas badan saya menyebabkan saya tenggelam dan hampir lemas. Ketika itu tangan saya terlepas daripada memegangnya.

"Saya kemudian berusaha berenang ke tepi untuk meminta pertolongan orang ramai yang sedang berkelah di kawasan itu sebelum diselamatkan anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam," katanya yang mengakui trauma dengan kejadian itu.

Aizat berkata, sebelum kejadian, Allahyarham teruja hendak mandi sebaik tiba di kawasan pantai berkenaan, 4.30 petang semalam.

Katanya, ketika berada di pantai, dia sempat meminta arwah membatalkan hasratnya untuk mandi kerana ombak besar, selain arwah dikatakan tidak pandai berenang.

"Tetapi arwah tetap dengan keputusannya menyebabkan saya turut mandi kerana mahu menemaninya, manakala dua lagi rakan hanya bermain di tepi pantai," katanya.

Aizat berkata, mereka ke negeri ini kerana dalam rangka mengadakan sesi jelajah di seluruh negara bagi mempromosikan produk insuran syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur bermula 7 Julai lalu.

"Selepas tugas kami di Kuantan selesai 5 petang kelmarin (Khamis), arwah mengajak kami terus ke Kuala Terengganu dan tiba kira-kira 8 malam.

"Tidak sangka keputusannya tergesa-gesa untuk datang ke sini (Kuala Terengganu) walaupun tugasan kami sepatutnya bermula esok (Ahad) rupanya petanda awal dia akan meninggalkan kami buat selamanya," katanya.

Jenazah Muhamad Shamin Ashraf, anak bongsu dari tiga beradik dituntut iparnya, Ziahul Ashraf Said Sultan, 39, untuk dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Melayu Air Hitam, Pulau Pinang, 5 pagi tadi.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, Datuk Keramat, Pulau Pinang, selepas solat Zohor.

Berita berkaitan

Ajalmu di pantai Batu Buruk

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 3:43 PM