MOHAMED Azmin. FOTO Arkib NSTP
MOHAMED Azmin. FOTO Arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid


TIMBALAN Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerima sesiapa sahaja yang ingin bertanding jawatan di dalam parti itu yang mengamalkan dasar demokrasi dan keterbukaan.

Setiausaha Politiknya, Muhammad Hilman Idham berkata, perebutan sebarang jawatan menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, haruslah berlaku dalam suasana harmoni, beradab dan mengikut norma parti.

“Pemilihan ini bukanlah satu perkara yang boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana kita mahu menghasilkan satu keputusan

yang tepat dan bukan sebaliknya.

“Saya percaya Datuk Seri Azmin akan menerima sesiapa sahaja termasuk beliau(Rafizi Ramli) yang mahu bertanding jawatan presiden, timbalan atau pun jawatan-jawatan lain,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu bulan depan.

Pengesahan itu dibuat bekas Ahli Parlimen Pandan itu kepada sebuah portal berita malam tadi, sekali gus bakal menyaksikan pertembungan antara beliau dengan Azmin Ali, yang kini menyandang jawatan berkenaan.

Sehingga kini, hanya Rafizi yang mengesahkan akan merebut jawatan berkenaan, namun difahamkan keputusan rasmi mengenainya hanya akan diumumkannya Ahad ini.

Laporan itu turut menyebut keputusan untuk bertanding itu disifatkan sebagai pertandingan antara ahli politik dengan reformis dalam PKR.

Mengulas lanjut, Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, setiap ahli perlulah mengamalkan politik sihat dan matang, tidak berunsur fitnah atau demi jawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 3:21 PM