AZMIN (tiga dari kanan) dan Zawawi (kiri) bersama penduduk pada majlis Santai BBQ bersama Calon PKR DUNSungai Kandis di Shah Alam, semalam. FOTO Osman Adnan
AZMIN (tiga dari kanan) dan Zawawi (kiri) bersama penduduk pada majlis Santai BBQ bersama Calon PKR DUNSungai Kandis di Shah Alam, semalam. FOTO Osman Adnan
Iskandar Shah Mohamed


TIMBALAN Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menyatakan keputusan bertanding jawatan dalam pemilihan parti itu selepas berakhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Beliau akan menentukan sama ada mahu mempertahankan jawatan disandang atau mencabar jawatan sebagai Presiden PKR pada pemilihan Ogos ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, beliau kini mahu membantu jentera parti bagi PRK Sungai Kandis, terlebih dulu.

“Setakat ini, saya ingin lebih menumpukan kepada segala persiapan dan kempen pilihan raya.

“Selepas itu, saya akan menimbangkan perkara berkenaan (pemilihan parti),” katanya ketika ditemui pada program Santai BBQ bersama calon PRK DUN Sungai Kandis di Jalan Kebun, Shah Alam, malam semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Ketika mengulas mengenai keputusan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden, katanya, semua ahli PKR berhak menawarkan khidmat dalam perjuangan parti itu.

“Saya menghormati keputusan beliau untuk bertanding dan ia adalah satu proses demokrasi yang tidak perlu dipandang pelik kerana ia kekuatan PKR.

“Saya berada di jawatan ini (Timbalan Presiden) selama 20 tahun juga kerana pertandingan. Saya tidak pernah mendapat jawatan secara percuma dan itu yang memperkukuhkan lagi peranan kita dalam parti,” katanya.

Sementara itu, beliau amat menghargai perlantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd yang baharu sekali gus berharap dapat mengembalikan peranan asal syarikat dana pelaburan strategik negara berkenaan.

“Saya dimaklumkan mengenai pelantikan itu petang tadi (semalam) dan berterima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan terperinci dan saya akan mendapatkan satu sesi perbincangan dengan Tun Mahathir dalam tempoh terdekat sebelum mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah pertama bagi meneliti keutamaan yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 12:39 AM