Senapang dan peluru yang dijumpai dalam serbuan yang diadakan di sebuah rumah di Kampung Padang Cina Kulim Hitech. FOTO IHSAN PEMBACA
Senapang dan peluru yang dijumpai dalam serbuan yang diadakan di sebuah rumah di Kampung Padang Cina Kulim Hitech. FOTO IHSAN PEMBACA
Nor Farhani Che Ad


DUA beranak ditahan kerana dipercayai memiliki dua laras senapang patah dan peluru tabur tanpa lesen di Kampung Padang Cina, Kulim, semalam.

Suspek lelaki berusia 49 tahun ditahan pada 5.30 petang, manakala, anak lelakinya berusia 25 tahun ditahan di sebuah rumah di kampung sama, tidak lama kemudian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pemeriksaan ke atas suspek pertama menemui beberapa butir peluru tabur yang disimpan di dalam beg silang yang dipakainya.

"Suspek membawa polis ke sebuah rumah sebelum dia menunjukkan tempat simpanan selaras senapang patah yang disembunyikan di luar rumah.

"Lelaki itu turut menunjukkan satu lagi laras senapang patah yang disembunyikan di dalam rumah serta peluru," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, polis membuat tangkapan ke atas anak lelaki suspek yang berada di rumah berkenaan semasa pemeriksaan dijalankan.

Katanya, pihaknya merampas kedua-dua laras senapang patah serta 28 butir peluru hidup.

"Kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 2:18 PM