SAZALEE (kanan) bersama pegawainya melihat motosikal dipercayai dicuri yang dirampas, hari ini. FOTO Omar Osman
SAZALEE (kanan) bersama pegawainya melihat motosikal dipercayai dicuri yang dirampas, hari ini. FOTO Omar Osman
Omar Osman


TINDAKAN berani seorang lelaki merempuh motosikal dinaiki dua lelaki dipercayai peragut membantu polis menahan salah seorang suspek di Jalan Petri, Pekan Lama, Sungai Petani.

Kejadian berlaku pada 10 malam Sabtu lalu apabila dua lelaki yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 bertindak meragut beg milik dua wanita berusia 23 dan 63 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Sazalee Adam berkata, mangsa yang terkejut menjerit meminta pertolongan sebelum didengari peniaga, 39, lalu membantunya.

Katanya, kedua-dua suspek cuba melarikan diri, namun peniaga itu merempuh motosikal yang ditunggang lelaki terbabit walaupun diacu dengan pisau.

“Akibat rempuhan itu motosikal suspek terbalik dan salah seorang lelaki terbabit berjaya ditahan orang ramai, manakala rakannya melepaskan diri.

“Kedua-dua mangsa turut cedera dengan seorang daripadanya berusia 63 tahun terpaksa menerima empat jahitan di tangan kanan akibat ditoreh dengan pisau oleh suspek.

“Sementara peniaga terbabit turut cedera di tangan serta kaki kiri, dan ketiga-tiga mereka mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim ( HSAH),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kuala Muda Deputi Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir.

Menurutnya, polis turut menemui sebilah pisau milik suspek di tempat kejadian, dan semakan mendapati motosikal terbabit dilapor hilang di Padang Serai, Kulim, tahun ini.

Katanya, suspek juga mempunyai rekod jenayah curi motosikal dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 9:51 PM