Fairul Asmaini Mohd Pilus


AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak seharusnya dihapuskan, sebaliknya ia perlu dipinda dan ditambah baik.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata, SOSMA jauh lebih baik berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang disifatkan zalim dan kerap disalah gunakan kerajaan untuk menangkap musuh politik.

Beliau berkata, sejarah kezaliman ISA seperti yang berlaku ketika operasi penangkapan pemuda PAS pada 1984, Operasi Lalang 1987, Operasi Kenari 1988 dan operasi aktivis reformasi 1998 adalah antara kenangan pahit kezaliman pemerintah terhadap rakyat.

Katanya, penghapusan ISA yang kemudian diganti dengan SOSMA adalah sebahagian daripada usaha mengawal dan mengurangkan kuasa kerajaan supaya kezaliman dapat dihentikan.

“Namun, terdapat beberapa peruntukan akta itu yang menjadi kritikan kerana beban pembuktiannya adalah longgar berbanding pengendalian kes jenayah lain iaitu orang disyaki lebih mudah ditangkap, didakwa dan disabitkan salah walaupun buktinya lemah, justeru timbul persoalan adakah akta berkenaan zalim dan perlu dimansuhkan.

“Jadi, saya berpendapat Akta SOSMA tidak seharusnya dihapuskan, sebaliknya perlu dipinda dengan beberapa penambahbaikan termasuklah mewujudkan sekatan supaya tidak digunakan untuk tujuan politik atau yang tiada kaitan dengan masalah keselamatan dan keganasan.

“Contohnya, penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Mathias Chang dan Maria Chin Abdullah mengikut akta itu sebelum ini jelas menunjukkan ia disalah guna untuk tujuan politik dan sekatan sedia ada belum cukup jelas untuk menghalang penyalahgunaannya,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Fathi berkata, selain itu, tempoh penahanan untuk tujuan pencegahan perlu disingkatkan kepada 14 hari dan jika ingin dilanjutkan, ia perlu melalui proses permohonan ke mahkamah dengan alasan wajar, manakala tertuduh diberikan hak membela diri serta mendapat khidmat peguam.

Katanya, dia dan beberapa rakan membuat penyelidikan berkaitan isu keganasan serta berpeluang menemubual tahanan SOSMA.

Beliau berkata, isu pembabitan segelintir rakyat Malaysia dalam kegiatan keganasan adalah realiti kerana fikiran mereka sudah diracuni sehingga sanggup membunuh atas dorongan kepercayaan palsu, kefahaman songsang mengenai perjuangan, politik dan penentuan status keagamaan.

“Jadi, penambahbaikan juga perlu dilakukan dalam aspek penguatkuasaan SOSMA dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dengan memastikan pihak berkuasa yang terbabit mempunyai ilmu serta kefahaman mendalam terhadap isu keganasan.

“Saya harap kerajaan dapat memajukan lagi usaha penyelidikan dan risikan bagi mengelak berlakunya kesilapan ketika membuat penangkapan atau penahanan,” katanya.

Muhammad Fathi verkata, proses membuat kategori dan tahap pembabitan keganasan juga perlu tepat supaya pesalah menjalani hukuman dan proses pemulihan terbaik.

Katanya, program pemulihan tahanan perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh, teliti dan strategik membabitkan aspek kefahaman agama, bimbingan rohani dan tasauf, pembangunan dalam aspek psikologi, pembinaan kehidupan serta persekitaran baharu.

“Kerajaan juga perlu meningkatkan lagi jumlah sumber manusia terbabit dalam usaha pemulihan dan pembangunan prasarana seperti pembimbing agama, pakar kaunseling bagi memberi bimbingan, pemantauan serta panduan lebih berkesan kepada pesalah keganasan mengikut SOSMA atau POTA.

“Prasarana lebih sesuai perlu dibina memandangkan pesalah adalah banduan yang berlainan kerana mereka terbabit dalam jenayah berasaskan ideologi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:55 PM