SAIFUDDIN (tengah) akui tugas getir menanti Anwar. FOTO/FAIL
SAIFUDDIN (tengah) akui tugas getir menanti Anwar. FOTO/FAIL
Luqman Arif Abdul Karim


KETUA Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menawarkan diri bertanding jawatan presiden bakal berdepan tugas getir bagi mengisi kemenangan yang dicapai parti ketika ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah bertanding jawatan nombor satu parti ketika ini jauh lebih ‘berat‘ berbanding membina PKR daripada ‘kosong’.

Katanya, kemenangan yang bakal dikecapi Anwar akan memberikan impak besar kepada PKR, malah landskap politik Malaysia secara keseluruhannya.

“PKR dipimpin oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail) daripada ‘kosong’ sehingga jadi parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kini kita mempunyai 50 Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri lebih 60 (daripada PKR), selain memerintah kerajaan negeri dan jadi blok terbesar dalam PH.

“Dr Wan Azizah mencipta rekod sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama dan menyandang jawatan Presiden PKR.

“Semua ini berlaku ketika PKR menjadi parti politik pembangkang,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Pasca pergelutan sebagai parti politik pembangkang, kata Saifuddin, kemenangan Anwar juga akan membolehkannya menduduki kerusi dalam Majlis Presiden PH, selain mewujudkan gandingan terbaik dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pertembungan idealisme ‘Selamatkan Malaysia’ dan agenda reformasi diyakini berupaya memacu hala tuju negara ke arah lebih baik.

“Biarpun PKR ialah parti yang sangat demokratik dan terbuka, namun kerana kedudukan Anwar sebagai satu institusi, penghormatan yang selayaknya diberikan anggota parti adalah suarakan dokongan dan sokongan itu tidak ditandingi,” katanya.

Mengulas kerangka kepimpinan PKR pasca pemilihan, Saifuddin berkata, kedudukan jawatan Ketua Umum akan ditentukan menerusi perbincangan dalaman parti dan diumumkan bila tiba masanya.

Menyentuh kemungkinan wujud saingan daripada Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beliau yakin bekas Menteri Besar Selangor itu akan memberikan dokongan kuat kepada Anwar supaya menang tanpa bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 5:55 PM