Muhammad Yusri Muzamir


“KETEGASAN saya dalam membahaskan sesuatu isu di Dewan Rakyat tidak dibayangi imej mendiang bapa Karpal Singh,” kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Sebaliknya, beliau berkata, sikap tegasnya selari dengan pendirian untuk mempertahankan apa-apa keputusan yang dianggap betul dan mampu membawa perubahan kepada sistem di negara ini.

“Pada saya, tegas ketika berbahas ini adalah keperluan dan ia bergantung sepenuhnya kepada isu semasa yang dibangkitkan di Dewan Rakyat. Kita perlu lihat juga isu yang dibangkitkan, bukan semuanya perlukan ketegasan.

“Saya bukan hanya mahu mengutuk atau membangkang sebarang isu semasa mahupun usul yang dibangkitkan mana-mana wakil rakyat, sebaliknya lebih menitikberatkan elemen penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam sistem sedia ada

“Bagaimanapun, saya tegas menegakkan pendirian saya dalam isu 'gengster' kerana ia sangat dekat dengan saya, selain ia berkait rapat dengan mendiang bapa,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Rabu lalu, Ramkarpal menjadi wakil rakyat pertama daripada blok kerajaan yang diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung pada hari pertama sesi perbahasan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengeluarkan perintah itu mengikut Peraturan Mesyuarat 44(2) susulan keengganan Ramkarpal menarik balik perkataan 'gengster' terhadap Ketua Pemuda UMNO ketika mencelah ucapan menjunjung kasih Titah Diraja oleh Datuk Johari Abdul (PH-PKR Sungai Petani).

Aturan itu menggariskan adalah menjadi kesalahan bagi ahli Dewan Rakyat yang menggunakan bahasa kurang sopan atau membuat pernyataan seksis.

Ramkarpal berkata, beliau juga akan bersikap tegas ketika membahaskan mana-mana isu semasa atau usul dibangkitkan wakil kerajaan, sekiranya ia didapati tidak membantu membawa perubahan kepada negara.

“Bagaimanapun, saya yakin penyelesaian bagi keadaan ini perlu dibuat dalam mesyuarat atau perbincangan tertutup terlebih dahulu, sebelum ia dibangkitkan ketika persidangan Dewan Rakyat.

“Kita perlu lebih tegas dalam menentukan apa-apa keputusan yang mahu diambil supaya ia selari dengan keperluan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramkarpal turut memaklumkan tempoh penggantungannya daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat hanya berkuat kuasa selama sehari, pada Rabu lalu.

“Saya dimaklumkan penggantungan ini hanya berkuat kuasa selama sehari, selain saya juga berpegang teguh dengan pendirian untuk tidak menarik semula kenyataan berhubung isu 'gengster' tempoh hari,” katanya.

Berita berkaitan

Ramkarpal digantung serta-merta

Parlimen: 'Gengster' kecohkan Dewan Rakyat [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 6:56 PM