MAHMUD dan Mastura.
MAHMUD dan Mastura.
Samadi Ahmad

Sepang: Berkat menyimpan wang RM20 sebulan dalam akaun Tabung Haji (TH) sejak 20 tahun lalu membolehkan pesara guru, Mahmud Sahmat, 61, berpeluang menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Mahmud berkata, sikap berjimat-cermat sudah menjadi amalannya selepas berumah tangga apabila hasil simpanannya itu membolehkannya berangkat ke Tanah Suci bersama isteri, Mastura Adam, 58.

Menurutnya, walaupun gaji yang diperoleh ketika itu tidak sebanyak mana, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menabung ke dalam akaun TH. Di samping itu, dia mencari pendapatan sampingan dengan membantu isteri menjual kuih-muih dan nasi lemak untuk majlis kenduri mahupun jualan setiap Ramadan.

“Sepanjang berumah tangga, saya tidak mampu untuk menyimpan banyak kerana pada masa itu, empat anak masih bersekolah di samping menanggung perbelanjaan mereka hingga ke peringkat universiti.

“Sebahagian hasil pendapatan daripada kerja sampingan lebih 10 tahun itu yang banyak membantu saya dan isteri untuk menambah jumlah simpanan hingga terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Haji di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia bersara pada tahun lalu dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan St Teresa, Kuching, Sarawak dan kini menetap di Petra Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 7:07 AM