GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


GURU lelaki yang dipercayai mencabul murid perempuan di Ampang pada Mei lalu ditahan, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini kira-kira 2 petang tadi.

"Pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada 14 Jun lalu, namun, difahamkan pihak keluarga mangsa membuat laporan polis hanya bertujuan untuk rujukan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan lanjut.

"Sebaik menerima laporan itu, kami membuka kertas siasatan bagi tindakan seterusnya. Namun, tiada perkembangan hasil perbincangan oleh pihak berkaitan.

"Pada awal Julai ini, kami mengambil keterangan suspek dan membuat siasatan mengenai latar belakangnya sebelum mengambil tindakan menahan suspek berkenaan hari ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Fadzil berkata, sebelum ini pihaknya ada menerima satu laporan berhubung murid perempuan yang dipercayai dicabul oleh suspek di Kajang beberapa tahun lalu.

"Difahamkan tiada tindakan lanjut berhubung laporan dibuat di Kajang sebelum guru berkenaan kemudian ditukarkan bertugas di sekolah rendah terbabit di Ampang.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (AKSKK) 2017," katanya.

Dalam kejadian Mei lalu, mangsa berusia 10 tahun dikatakan diajak oleh guru berkenaan ke dalam bilik kokurikulum sekolah terbabit dengan alasan bagi membantu merekod markah.

Ketika di dalam bilik itu, guru berkenaan menarik tangan mangsa dengan kasar dan memaksanya duduk di atas ribanya selain memegang paha, dada dan bahagian sulit murid perempuan terbabit.

Malah, tiga murid lain dikatakan berada di dalam bilik berkenaan ketika itu dan menyaksikan kejadian terbabit.

Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis pada Jun lalu berhubung kejadian itu sebaik dimaklumkan anaknya.

Difahamkan beberapa murid lain turut tampil memaklumkan mereka juga menjadi mangsa cabul guru berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 5:33 PM