Nurul Hidayah Bahaudin dan Fazrik Kamarudin


POLIS sudah mengambil keterangan guru yang dikatakan menampar murid tahun dua hingga cedera di tengkuknya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya sudah memanggil guru berkenaan untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung kejadian itu, hari ini.

“Guru itu mengaku ada menampar murid berkenaan, namun tidak kuat hingga boleh mendatangkan kecederaan seperti dialami mangsa pada bahagian tengkuk kanannya.

“Malah, guru berusia 47 tahun itu ada membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, di Kajang, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, berdasarkan laporan polis dibuat guru itu, dia menafikan lebam itu akibat ditampar sebaliknya kesan itu dipercayai akibat penyakit beguk.

“Kami sedang menunggu laporan pemeriksaan kesan lebam terhadap mangsa yang dibuat di Hospital Kajang.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian ini sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan nenek mangsa dalam masa terdekat memandangkan kanak-kanak itu di bawah jagaan neneknya.

“Kertas siasatan berhubung kejadian ini sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dengan sengaja,” katanya

Sementara itu, ibu kepada pelajar terbabit enggan untuk memberikan sebarang komen ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihak keluarga kini sedang menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital sebelum membuat sebarang tindakan atau kenyataan lanjut.

Semalam, NSTP melaporkan seorang pelajar tahun dua cedera di bahagian tengkuk kanan dipercayai akibat ditampar guru sekolahnya.

Ibu kepada pelajar itu kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 6:32 PM