Fazrik Kamaruddin; Nurul Hidayah Bahaudin dan Noor Atiqah Sulaiman


POLIS menafikan status yang tular di media sosial mengaitkan kematian penuntut lelaki Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil selepas terjatuh dari buaian gantung (hammock) yang dipasang di balkoni bilik asramanya.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, gambar yang tular di media sosial berhubung kejadian bukan buaian, sebaliknya sengkuap di bangunan asrama berkenaan.

“Itu bukan 'hammock' (buaian). Itu adalah awning (sengkuap) yang dipasang di balkoni setiap tingkat bangunan bertujuan menghalang tempias ketika hujan.

“Ia (hammock) tiada kena mengena dengan kes ini,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas punca kematian Nik Muhammad Addin Azmi, 18, malam semalam.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.32 malam.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama rakannya sedang bersembang di balkoni bilik asrama terbabit.

“Menurut keterangan rakannya yang juga saksi kejadian, mangsa sedang berbual menerusi telefon bimbit sambil duduk di atas palang besi balkoni menghadap ke luar bangunan.

“Bagaimanapun, mangsa tergelincir dari besi itu sebelum terjatuh dari tingkat empat bangunan berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, rakan Allahyarham Nik Muhammad Addin mendakwa mangsa dikatakan ada memasang buaian gantung di balkoni biliknya sejak beberapa minggu lalu.

Rakannya yang enggan dikenali mendakwa mangsa sering berbaring dalam buaian berkenaan tetapi perkara itu disembunyikan daripada pihak pentadbiran dan hanya diketahui segelintir pelajar lelaki sahaja.

“Difahamkan, dia memasang buaian terbabit di balkoni tingkat empat asrama berkenaan.

“Selain dia, ada juga beberapa pelajar lain yang buat perkara sama, tetapi mungkin nasib tidak menyebelahinya (mangsa).

“Ada juga beberapa kali pelajar lain nasihat, tapi dia tak hiraukannya,” katanya kepada media ketika ditemui di asrama berkenaan, hari ini.

Sementara itu, seorang rakan lain yang enggan dikenali berkata, mangsa keluar ke balkoni untuk membuat panggilan telefon kepada ibunya.

Bagaimanapun, difahamkan ibu arwah tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada arwah anaknya itu.

Rakan mangsa, Muhammad Yasyri Syazani, 18, menyifatkan Addin seorang rakan yang baik, ceria dan disenangi rakan walaupun baharu sahaja mengenali antara satu sama lain.

Katanya, Addin amat menyukai aktiviti lasak terutama memanjat gunung, bangunan dan tempat tinggi.

“Dia amat menyukai kegiatan lasak, amat suka memanjat dan pernah menakluki puncak Gunung Kinabalu. Dia seperti amat gembira setiap kali dia berada di tempat tinggi,” katanya.

Berita berkaitan

'Addin nak belanja kawan satu blok'

Penuntut UiTM maut terjatuh tingkat empat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 8:57 PM