JEMAAH haji dibawa dengan bas dari Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa. FOTO Bernama
JEMAAH haji dibawa dengan bas dari Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa. FOTO Bernama

Madinah: Buat pertama kalinya, Tabung Haji (TH) kini menyediakan Kaunter Khidmat Pelanggan di Madinah, bagi menangani sebarang masalah berkaitan jemaah haji Malaysia di kota suci itu.

Pengurus Zon 1 Madinah, Fisol Nayan, berkata kaunter berkenaan dibuka 24 jam bagi membantu jemaah yang menghadapi masalah berkaitan hal-hal logistik, teknikal dan kaunseling.

“Alhamdulillah tahun ini, di peringkat zon, kami telah memperkenalkan kaunter khidmat pelanggan, yang mana sebelum ini hanya disediakan di Makkah,” katanya kepada pemberita di Hotel Al-Haram, di sini, hari ini.

Beliau berkata selain zon 1, zon 2 melibatkan penempatan haji di Hotel Movenpick juga disediakan kaunter berkenaan.

Zon 1 melibatkan penempatan haji di Hotel Al-Haram dan Al-Saha.

“Kami berharap tiga petugas di kaunter ini dapat menyelesaikan apa juga masalah yang dihadapi jemaah, seperti masalah berkaitan bagasi, kehilangan gelang atau lencana, hal berkaitan penginapan dan sebagainya,” katanya.

Fisol berkata selain kaunter berkenaan, pihaknya juga menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan, kaunter pengeluaran wang dan penyimpanan, kemudahan penghantaran barang, nasihat ibadah haji, perkhidmatan membayar dam dan korban.

Beliau berkata, jemaah haji pertama yang menginap di zon 1 itu dijangka tiba jam 3 petang (waktu tempatan) menerusi penerbangan KT5 dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

“Enam ribu jemaah dijadual menginap di zon 1 ini sebelum wukuf, jemaah yang bermasalah juga boleh merujuk kaunter kaunseling dan pembimbing ibadah TH,” katanya.

Beliau berkata jemaah yang mempunyai sebarang masalah juga boleh mendapatkan bantuan atau mengadu kepada mana-mana petugas yang ditemui mereka.

“Petugas akan membantu mereka merujuk di kaunter berkaitan, selain itu mereka juga boleh menghubungi pusat bantuan Tanah Suci yang tertera di gelang yang dipakai mereka (012-5704433).

“Talian lain yang disediakan ialah talian kecemasan 012-2900022 dan talian ibadah (012-25706161),” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 5:57 PM