SERAMAI 45 kakitangan bertugas di bahagian kewangan pada musim haji ini.
SERAMAI 45 kakitangan bertugas di bahagian kewangan pada musim haji ini.

Madinah: Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati jemaah tidak membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak bagi mengelak kecurian atau kehilangan ketika di Tanah Suci.

Ini kerana mereka boleh membuat pengeluaran wang atau pemindahan di 36 kaunter yang dibuka di sini dan Makkah.

Pengarah Operasi Kewangan Tanah Suci Che Gayah Salleh berkata, pada musim haji tahun ini petugas bahagian kewangan dikendalikan 45 kakitangan dengan 34 daripadanya ditempatkan di Makkah manakala bakinya di sini.

Menurut beliau, petugas kewangan bertanggungjawab bagi urusan pengeluaran, pemindahan wang, pembayaran dam serta ibadah korban.

Katanya, jemaah yang mahu mengeluarkan wang hanya perlu membawa tag nama yang dibekalkan TH ke kaunter dan nyatakan jumlah wang yang hendak dikeluarkan dan urusan seterusnya akan dibantu kakitangan bertugas.

Menurutnya, had maksimum pengeluaran adalah SR10,000 sehari.

“Kami berharap jemaah yang bertolak dari Malaysia tidak bawa duit banyak, cukuplah sekadar untuk belanja dalam perjalanan seperti untuk makan minum dan sebagainya.

“Ini kerana mereka boleh membuat pengeluaran di kaunter TH dan membantu mengelakkan kecurian serta kehilangan.

“Bagi keluarga jemaah kita juga memberi kemudahan kepada mereka jika mahu melakukan deposit tambahan kepada jemaah sama ada secara tunai atau pemindahan ke akaun jemaah di Malaysia jika ada keperluan,” katanya dalam sidang media di Hotel Movenpick Madinah di sini, malam kelmarin.

Menurut Che Gayah, pada tahun ini TH melakukan penambahbaikan dengan memastikan setiap jemaah membuat pengesahan biometrik bagi melicinkan urusan akaun mereka di Tanah Suci.

Katanya, bagi cap jari yang mengalami kerosakan, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) khas, bagaimanapun bagi jemaah lain mereka perlu ke pejabat TH terdekat untuk proses pengesahan biometrik.

“Setakat ini lebih 90 peratus jemaah sudah membuat pengesahan biometrik untuk akaun masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, kaunter dibuka dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari serta disambung semula dari jam 4 petang hingga 10 malam.

Beliau turut memberitahu TH menetapkan kadar bayaran dam sebanyak SR440 bagi kibas dan SR2,250 untuk lembu.

Katanya, bagi korban pula dikenakan SR460 untuk kibas, manakala SR4,150 untuk lembu.

Kadar tukaran matawang pada 2 Ogos adalah SR1 bersamaan RM1.15.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 6:49 AM