ANTARA remaja  ditahan kerana melakukan aksi dan menunggang motosikal secara berbahaya.
ANTARA remaja ditahan kerana melakukan aksi dan menunggang motosikal secara berbahaya.
Teoh Pei Ying dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Aksi liar menunggang motosikal antaranya dengan gaya ‘Superman’ dipertontonkan lima remaja lelaki sebelum ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar pusat bandar ini membabitkan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) dan Jalan Kuching, di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi bermula jam 10 malam kelmarin hingga jam 3 pagi semalam, lima penunggang motosikal berusia 15 hingga 20 tahun termasuk tiga pelajar ditahan kerana didapati menunggang secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya DUKE.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mereka yang ditahan didapati berlumba sesama sendiri dengan kelajuan tinggi sambil menunjukkan aksi bahaya.

“Ketika operasi dijalankan, mereka didapati menunggang motosikal dengan laju sambil melakukan aksi berbahaya sebelum berjaya ditahan anggota polis trafik yang sudah menyerbu lokasi berkenaan.

“Selain itu, mereka turut didapati mengubah suai motosikal dengan menggunakan tayar lebih kecil dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam. ini.

Zulkefly berkata, dalam operasi sama di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar pula, seramai tiga lelaki berusia 23 hingga 37 tahun ditahan kerana menunggang motosikal curi.

“Semakan rekod mendapati motosikal ditunggang ketiga-tiga lelaki terbabit dilaporkan hilang di Jinjang, di sini, serta Kuang dan Bandar Sunway, Selangor.

“Dalam kedua-dua operasi itu, sebanyak 172 saman dikeluarkan termasuk saman mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pesara guru berusia 53 tahun yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson kerana kesalahan menggunakan lampu mata arah,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, di sini, untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara bahaya dan Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan atas kesalahan curi kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 10:54 AM