AKSI dilakukan mat rempit yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya DUKE, awal pagi tadi. FOTO Ihsan PDRM
AKSI dilakukan mat rempit yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya DUKE, awal pagi tadi. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


AKSI lapan mat rempit menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) awal pagi tadi berakhir di dalam lokap.

Lelaki berusia 16 hingga 22 tahun itu dicekup dalam Operasi Samseng Jalanan kira-kira jam 1 pagi dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, seramai 14 pegawai dan anggota yang diketuai Asisten Superintendan Leonard Lawrence Abbie terbabit dalam operasi itu.

Katanya, semua suspek ditahan selepas didapati menunggang motosikal dengan mempamerkan aksi berbahaya.

"Mereka melakukan aksi Superman, berlumba dan membuat aksi zig zag yang membahayakan diri sendiri dan pengguna," katanya.

Zulkefly berkata, empat daripada lapan suspek berkenaan didapati tidak mempunyai lesen selain melakukan kesalahan pengubahsuaian motosikal.

"Antara pengubahsuaian yang dilakukan adalah mengubah sistem enjin untuk menambah kelajuan, menggunakan ekzos bunyi kuat dan tayar kecil.

"Selain itu, mereka juga didapati melakukan kesalahan lain seperti tiada cermin sisi dan lampu serta tidak memakai topi keledar," katanya.

Dalam operasi berasingan, sebanyak 282 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, menerusi Op Motosikal yang bermula jam 9 malam.

"Sebanyak 13 motosikal disita untuk pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana melakukan pengubahsuaian sehingga boleh mendatang bahaya.

"Dalam operasi itu, seorang penunggang lelaki turut ditahan kerana gagal memberi keterangan berhubung motosikal ditunggangnya yang tidak mempunyai rekod dalam sistem JPJ," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan empat pemandu yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di empat lokasi berasingan di sekitar ibu kota ini, semalam.

"Sebanyak 75 kenderaan dan 25 pemandu diperiksa dalam operasi itu dengan empat daripada mereka yang berusia 31 hingga 60 tahun ditahan selepas dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

"Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 2:47 PM