POLIS menjalankan Operasi Pelbagai di sekitar ibu negara. FOTO ihsan Polis
POLIS menjalankan Operasi Pelbagai di sekitar ibu negara. FOTO ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan 11 lelaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol mengundang padah apabila ditahan polis dalam Operasi Pelbagai di sekitar ibu negara sejak kelmarin hingga awal pagi ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, operasi itu membabitkan 96 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur yang diadakan serentak dengan Op Samseng Jalanan dan Motosikal di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Cheras, Jalan Bangsar serta Lebuhraya Duta Ulu Klang (Duke).

Menurutnya, suspek berusia 22 hingga 68 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk tindakan susulan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kita juga menahan lima lelaki kerana menunggang motosikal secara berbahaya sambil melakukan aksi 'zig-zag', 'roket' dan 'Superman' selain bersaing sesama sendiri menerusi Op Samseng di Duke.

"Suspek berusia 18 hingga 26 tahun itu dibawa ke balai sama mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya hingga mengganggu pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkafli berkata, sebanyak 430 saman dikeluarkan secara keseluruhan atas pelbagai kesalahan dan 13 motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 kerana mengubahsuai struktur kenderaan termasuk ekzos.

"JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi membanteras sepenuhnya isu samseng jalanan di ibu negara serta menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 4:22 PM