MMF2018 dijangka akan merancakkan sektor perlancongan termasuk di Miri, utara Sarawak, yang mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik untuk dikunjungi. Foto NSTP/KANDAU SIDI
MMF2018 dijangka akan merancakkan sektor perlancongan termasuk di Miri, utara Sarawak, yang mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik untuk dikunjungi. Foto NSTP/KANDAU SIDI
Kandau Sidi


PERSATUAN Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yakin mengunjur jualan RM3 juta sepanjang berlangsungnya Pesta MATTA Miri 2018 (MMF2018), bermula 27 Julai ini.

Pengerusi MMF2018, Wilson Tak Chee berkata, sektor pelancongan masih mampu berdaya saing dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini berbanding sektor lain .

Beliau berkata, tanda itu cukup jelas melalui jumlah penyertaan dalam MMF2018 membabitkan 40 ejen pelancongan berbanding hanya 25 peserta sebelum ini

“Ia membuktikan keyakinan mereka yang terbabit dalam sektor itu bahawa kedudukan sektor pelancongan tetap masih menguntungkan,” katanya kepada NSTP di Miri, semalam.

MMF2018 dijadualkan berlangsung di kawasan letak kenderaan pusat beli-belah E-Mart Riam di Miri.

Tak Chee juga yakin orang ramai akan membuat banyak tempahan untuk melancong ke destinasi pilihan mereka, terutama apabila tiba musim perayaan dan cuti sekolah.

Katanya, pelancong boleh mendapat tawaran harga hebat semasa berlangsungnya pesta itu, yang bertujuan menggalakkan perkembangan industri pelancongan.

“Pelancong berpeluang memilih ejen pelancongan yang diiktiraf di pesta itu untuk menikmati percutian hebat yang menjadi impian mereka,” katanya.

Justeru, beliau mahu supaya orang ramai datang mengunjung dan membuat tempahan dengan harga murah sepanjang berlangsungnya pesta itu.

“Penganjuran MMF2018 juga diyakini mampu merancakkan sektor pelancongan di Sarawak, khususnya di Miri sebagai pintu masuk utama pelancong di wilayah utara negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 2:15 PM