PERMOHONAN doa kepada Allah adalah bukti  hamba amat kerdil dan tidak mempunyai  kuasa melainkan apa yang hanya dikurniakan oleh-Nya.
PERMOHONAN doa kepada Allah adalah bukti hamba amat kerdil dan tidak mempunyai kuasa melainkan apa yang hanya dikurniakan oleh-Nya.
Mohd Shahrizal Nasir

UMAT Islam diberikan peluang yang luas untuk memohon doa kepada Allah SWT. Sememangnya manusia sentiasa berhajat agar setiap keinginannya dimakbulkan oleh Allah. Permohonan doa kepada Allah oleh seseorang hamba membuktikan bahawa diri amat bergantung kepada kekuasaan-Nya yang mampu memenuhi sebarang hajat hamba-Nya.

Permohonan doa kepada Allah juga adalah bukti bahawa setiap hamba amat kerdil dan tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan apa yang hanya dikurniakan oleh-Nya. Allah menzahirkan keagungan dan kasih sayang-Nya dengan membuka pintu yang amat luas untuk memenuhi keperluan hamba-Nya.

Allah berfirman yang maksudnya: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): "Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Dalam banyak permintaan hamba di dunia ini, Allah menganjurkan agar mereka memohon perlindungan kepada-Nya. Ini membuktikan bahawa doa perlindungan kepada Allah merupakan bukti keimanan seseorang hamba kepada keesaan-Nya. Tidak ada sesuatu pun yang dapat memberi mudarat ataupun manfaat melainkan kesemuanya berlaku dengan izin daripada-Nya.

Daripada Abdullah bin 'Abbas, dia berkata: Pada suatu hari aku pernah berada di belakang Nabi, baginda bersabda: "Wahai anak muda, aku akan ajarkan kepadamu beberapa kalimat: Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kamu akan mendapati Dia di hadapanmu. Jika kamu minta, mintalah kepada Allah. Jika kamu minta tolong, mintalah tolong juga kepada Allah. Ketahuilah, sekiranya seluruh manusia berkumpul untuk memberi kepadamu sesuatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain daripada apa yang sudah Allah tetapkan untuk dirimu. Sekiranya mereka berkumpul untuk melakukan sesuatu yang membahayakan kamu, nescaya tidak akan membahayakan kamu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis panjang ini menjelaskan tentang kekuasaan Allah SWT yang mengatasi segala-galanya. Tidak ada sesuatu perkara yang berada di luar daripada kawalan Allah termasuk perkara buruk yang membawa kemudaratan. Penerangan yang diberikan oleh Rasulullah SAW dalam hadis tersebut sepatutnya dijadikan pegangan yang utuh bahawa setiap umat Islam mesti memohon agar diri sentiasa berada dalam perlindungan Allah.

Antara doa perlindungan yang diajar oleh Allah ialah merujuk kepada perlindungan daripada gangguan syaitan. Sememangnya syaitan berusaha siang dan malam untuk mengganggu kehidupan manusia agar dapat menjadi temannya di dalam neraka nanti. Oleh itu, umat Islam diajar agar membaca al-isti'azah iaitu a'uzubillahi minash shaitanir rajim sebagai doa memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan.

Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran bermaksud: "Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam." (Surah an-Nahl, ayat 98)

Diriwayatkan dalam beberapa hadis oleh Abu Dawud, at-Tirmidzi dan Ahmad daripada seorang sahabat bernama Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah tatkala menunaikan solat, baginda mengangkat takbir dan membaca beberapa bacaan secara perlahan termasuk membaca al-isti'azah. Selepas itu barulah baginda membaca bacaan solat iaitu surah al-Fatihah. Ini menunjukkan memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan adalah perkara yang diamalkan Rasulullah.

Selain memohon perlindungan kepada Allah daripada gangguan syaitan, kita juga diajar agar memohon perlindungan daripada perkara lain. Ini dapat dilihat berdasarkan doa yang dibaca Rasulullah SAW selepas membaca tahiyyat akhir ketika solat dan sebelum memberi salam.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Sekiranya kalian membaca tasyahhud (selepas membaca tahiyyat akhir), maka mohonlah perlindungan Allah tentang empat perkara: Allahumma inni a'uzubika min 'azabi jahannam, wa min 'azabil qabr, wa min fitnatil mahya wal mamat, wa min sharri fitnatil masihid dajjal." (Hadis riwayat Muslim)

Doa yang mengandungi ungkapan a'uzubika (aku memohon perlindungan-Mu) merujuk kepada permohonan perlindungan kepada Allah daripada empat perkara. Terjemahan doa berkenaan yang menjelaskan empat perkara ialah: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan-Mu daripada seksaan neraka jahanam dan daripada azab kubur dan daripada fitnah (ujian) kehidupan dan kematian serta daripada keburukan fitnah Dajjal."

Rasulullah SAW mengajar umatnya agar memohon perlindungan Allah SWT daripada empat perkara yang mencakupi perihal seluruh kehidupan dunia dan akhirat. Kehidupan di dunia, saat hampir berlakunya kiamat dengan kemunculan Dajjal, ketika menghadapi kematian, tatkala berada dalam kubur dan neraka jahanam kesemuanya adalah ujian yang tidak ada kuasa dapat menyelamatkan diri kita daripadanya melainkan dengan pertolongan Allah.

Pada saat kita masih lagi berdepan dengan penularan wabak Covid-19, kita juga dianjurkan agar memperbanyakkan doa memohon perlindungan Allah daripada wabak. Rasulullah SAW telah mengajar umatnya agar memohon perlindungan Allah daripada semua jenis penyakit.

Perhatikanlah doa yang sekarang ini sering kita baca iaitu: Allahumma inni a'uzubika minal barasi wal jununi wal juzami wa min sayyi'il asqam. Terjemahan doa tersebut yang diajar Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan Anas bin Malik: "Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Jika diperhatikan doa tersebut, akan didapati perkataan  a'uzubika (aku memohon perlindungan-Mu) yang merujuk permohonan perlindungan kepada Allah daripada penyakit berbahaya. Kasih sayang Allah kepada makhluknya tidak dapat disangkal lagi dengan Islam memberi tunjuk ajar agar manusia sentiasa memohon perlindungan-Nya.

Terdapat banyak lagi doa-doa daripada Rasulullah yang mengandungi ungkapan perkataan a'uzubika (aku memohon perlindungan-Mu). Jika kita menemui ungkapan perkataan ini dalam bacaan doa, maka ketahuilah bahawa ia adalah ungkapan yang membuktikan keperluan memohon perlindungan Allah untuk keselamatan diri daripada perkara buruk.

Satu lagi doa yang diajar oleh Rasulullah lafaznya berbunyi: Allahumma inni a'uzubika min zawali ni'matik, wa tahawwuli 'afiyatik, wa fuja'ati niqmatik, wa jami'i sakhatik. Maksud doa tersebut: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan-Mu daripada hilangnya nikmat yang telah Engkau kurniakan dan daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, dan daripada seksaan-Mu yang datang secara tiba-tiba dan daripada segala kemurkaan-Mu" (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya kita memerlukan perlindungan setiap masa daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Dan sebaik-baik perlindungan ialah perlindungan Allah SWT kerana tidak ada sesuatu pun yang mampu melangkaui perlindungan-Nya kerana hanya Dialah sebaik-baik pemberi perlindungan.

Penulis pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 8:24 AM