Fazrik Kamarudin


POLIS sudah mengenal pasti seorang individu disyaki terbabit dalam kes mayat wanita dikerat enam yang ditemui dalam dua beg pakaian di tepi Jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, suspek dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi berkenaan.

"Berdasarkan rakaman itu, ada seorang individu menarik beg berkenaan sebelum dibuang di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur, hari ini.

Shaharudin berkata, pihaknya giat mengesan suspek terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Dalam pada itu katanya, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim akan mengadakan sidang media berhubung siasatan kes berkenaan pada Isnin nanti.

Pada kejadian kira-kira 12 tengah hari semalam, mayat ditemui dalam keadaan mengerikan berikutan dikerat kepada beberapa bahagian sebelum anggota badannya dimasukkan dalam dua bagasi berasingan dan diletakkan di tebing Sungai Gombak di Jalan Ipoh.

Mangsa dipercayai berusia lingkungan 30 ke 40 tahun dipercayai beragama Islam dan bukan warga Malaysia.

Siasatan awal mendapati, anggota badan manusia dibungkus dalam dua lapisan plastik hitam dan satu lapisan kain cadar daripada dua beg pakaian.

Berita berkaitan

[UPDATE] Sah mayat wanita dikerat enam [METROTV]

Dua mayat ditemui dalam bagasi

[UPDATE] Kejam, mayat dikerat dalam dua bagasi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 10:49 PM