Kalbana Perimbanayagam dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


MAYAT wanita dikerat enam yang ditemui dalam dua beg pakaian di tepi Jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak pada 5 Julai lalu disahkan warga Bangladesh.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa berusia 29 tahun dan polis kini memburu suami wanita itu dikenali sebagai Md Shahzada Saju, 37.

Katanya, pihaknya mengesan lelaki terbabit yang juga warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes kematian wanita berkenaan.

“Polis kini sedang mengesan seorang saksi iaitu suami mangsa bagi membantu siasatan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan maklumat.

“Lelaki terbabit pernah bekerja di kedai makan di ibu negara dipercayai berada di Johor,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, suspek yang terbabit dalam kejadian tembak di Taman Maluri, Cheras pada Jumaat lalu dipercayai individu upahan.

“Polis tidak tolak kemungkinan wujud elemen peras ugut membabitkan wang dalam kes berkenaan.

“Dua gambar lelaki yang ditemui di lokasi dikenali sebagai Datuk Poh Kiat dan Kelvin kini sedang dikesan untuk diambil keterangan,” katanya.

Katanya, polis masih belum menerima laporan penuh berhubung kaitan kes di Taman Maluri dan sebuah kelab malam di ibu kota, sebelum ini.

“Kita masih menunggu laporan forensik berhubung kedua-dua kejadian tembakan berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan

Suspek wanita dikerat enam dikenal pasti

[UPDATE] Sah mayat wanita dikerat enam [METROTV]

[UPDATE] Kejam, mayat dikerat dalam dua bagasi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 5:18 PM