KERETA membawa Riza keluar dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas memberi keterangan  berhubung skandal 1MDB, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
KERETA membawa Riza keluar dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas memberi keterangan berhubung skandal 1MDB, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Suhaila Shahrul Annuar


ANAK tiri bekas Perdana Menteri, Riza Aziz hari ini selesai memberi keterangan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah empat hari berturut-turut hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Riza, 48, dilihat meninggalkan bangunan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, 7.35 malam ini dengan menaiki kereta Audi berwarna hitam setelah kira-kira lapan jam memberi keterangan.

Bagaimanapun, usaha pihak media untuk mendapatkan komen beliau tidak berjaya.

Sejak Selasa lalu hingga semalam, Riza sudah memberi keterangan kira-kira 23 jam berhubung siasatan berkaitan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Beliau tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya SPRM hari ini pada 9.50 pagi.

Turut kelihatan masuk ke pekarangan Ibu Pejabat SPRM adalah peguamnya, Datuk K Kumaraendran.

Sementara itu, menurut sumber SPRM, Riza selesai memberi keterangan buat masa ini dan tidak akan dipanggil dalam waktu terdekat.

Riza yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite Pictures iaitu syarikat penerbitan filem Holywood dikehendaki hadir oleh SPRM sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan skandal berkenaan.

Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sejumlah AS$64 juta diselewengkan daripada 1MDB telah dipindah kepada Red Granite untuk membiayai penerbitan beberapa filem Hollywood termasuk The Wolf Of Wall Street yang dibintangi Leonardo Dicaprio.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas 1MDB membekukan lebih 408 akaun termasuk akaun UMNO negeri dan pusat membabitkan jumlah RM1.1 bilion bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung dakwaan bahawa akaun berkenaan menerima dana daripada 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 8:47 PM