DATUK Seri Shukri Abdull. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Shukri Abdull. FOTO Arkib NSTP
Wartawan NSTP


KERAJAAN memutuskan untuk melantik Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Mohd Shukri dipilih untuk mengetuai agensi itu bagi menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Isnin lalu.

Dr Mahathir berkata, Mohd Shukri yang juga bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM dipilih kerana pengalamannya, selain sikapnya yang dilihat menentang tindakan salah yang dilakukan SPRM.

Bagaimanapun, katanya, keputusan melantik Shukri itu masih tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

“Dia mempunyai pengalaman. Dia dulu dalam SRPM dan mempunyai banyak maklumat, selain sikapnya yang menentang tindakan salah dilakukan dalam SPRM.

“(Juga mengenai) peranan (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak yang menghalang siasatan, kita nak tahu dengan jelas apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Isnin lalu, Dzulkifli dilaporkan memohon menamatkan kontrak perkhidmatannya dengan SPRM berkuat kuasa serta merta, dan kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara bermula Selasa.

Dzulkifli dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016, ketika Najib menjadi Perdana Menteri, bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Ditanya mengenai pertemuannya dengan Abu Kassim di Putrajaya pagi tadi, Dr Mahathir berkata, beliau sedang menimbang peranan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

“Kita sedang menimbang peranan yang boleh dimainkan Tan Sri Abu Kassim kerana dia ada banyak kepakaran dan maklumat berkenaan kesalahan yang berlaku (sebelum ini),” katanya.

Berita berkaitan

Tunggu PM umum...[METROTV]

Dzulkifli tak boleh keluar negara?

Dzulkifli kembali ke AGC esok

Dzulkifli letak jawatan KP SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 3:38 PM