MOHD Shukri (tengah) mengetip kad perakam waktu tepat 10.29 pagi ketika melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MOHD Shukri (tengah) mengetip kad perakam waktu tepat 10.29 pagi ketika melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail


KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull memulakan tugasnya secara rasmi, hari ini.

Beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 10.25 pagi dan disambut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, pegawai kanan dan kakitangan SPRM lain.

Mohd Shukri kemudian memasukkan kad perakam waktu tepat 10.29 pagi bagi menandakan permulaan tugasnya.

Ketika menemui pemberita selepas itu, beliau berkata satu taklimat khas akan diadakan untuk media, esok.

“Esok akan ada taklimat untuk media, saya akan berkongsi cerita menarik dengan media mengenai pengalaman saya,” katanya.

Ditanya perasaannya kembali bertugas di SPRM, Mohd Shukri menganggap ia sebagai satu cabaran sukar, namun tanggungjawab diberikan perlu dilaksana sebaiknya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Difahamkan, Mohd Shukri sudah menerima perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menerusi satu surat yang diserah kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, pagi ini.

Mohd Shukri sudah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum bersara awal pada 31 Julai 2016.

Jawatan terakhir dipegang beliau adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 11:11 AM